Pages

Thursday, October 6, 2016

[KUANTAN] KUMPUL 60KG SAMPAH


Kumpul 60kg sampah


Lebih 60 kilogram (kg) sampah sarap dikumpulkan setiap kali program membersihkan kawasan pantai yang dilaksanakan setiap sebulan di Pantai Cherating sepanjang dua kilometer di sini.

Aktiviti pembersihan anjuran Hotel Residence Inn Cherating itu disertai kakitangan hotel bersama penduduk kampung bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai bagi menarik pelancong untuk bercuti di kawasan peranginan terbabit.

Pengurusnya, Badulshahly Abu Hassan berkata, kawasan dibersihkan itu antara lokasi pilihan ramai pelancong untuk melakukan aktiviti pantai seperti berkelah, barbeku dan sukan pantai.

“Kita lihat banyak sampah seperti botol minuman, tin, kaca dan plastik di sekitar kawasan ini dan ia mencacatkan pemandangan serta keindahan pantai. Program dijalankan bersama penduduk setempat ini dapat memberi keselesaan kepada pengunjung di sini.

“Selain itu, aktiviti membersihkan kawasan pantai dan sekitarnya adalah sebagai inisiatif pihak pengurusan hotel dalam usaha menjadikan Cherating sebagai sebuah pusat peranginan pilihan pelancong yang datang ke negeri ini menjelang Tahun Melawat Pahang pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pembersihan pantai membabitkan lebih 30 kakitangan hotel dan penduduk setempat.

Menurutnya, aktiviti pembersihan itu juga dilakukan selepas mendengar rungutan penduduk setempat yang melihat keadaan pantai tidak seindah dulu.

Katanya, pantai perlu sentiasa dalam keadaan yang bersih supaya terus menjadi tumpuan pelancong untuk datang melawat negeri ini.

Badulshahly berkata, program itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan diteruskan setiap bulan bagi memastikan kawasan pantai berkenaan sentiasa terjaga dan terpelihara.

“Kita berharap usaha dijalankan ini turut mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk badan kerajaan dan NGO supaya pelbagai program seumpama itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Cherating, Mohd Azrul Mat Rashid, 32, berkata, kerja pembersihan pantai dilakukan setiap bulan dengan kerjasama pemilik Resort bagi mengindahkan pusat peranginan tersebut.

Katanya, ia rutin biasa dilakukan olehnya bagi memastikan kawasan peranginan khususnya pantai terus menjadi tarikan pelancong.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor