Kota Bharu - Kolej kemahiran, Akademi Pantai Timur (APT) mengorak maju selangkah ke hadapan apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kilang elektronik terbesar di dunia, Rohm Wako (M) Electronics Sdn Bhd dengan menyediakan tenaga mahir di Kelantan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha kolej itu selaras dengan melatih penuntutnya mendapat tempat sekurang-kurangnya sebagai juruteknik di syarikat berkenaan.
“Rohm Wako merupakan syarikat perkilangan dari Jepun terbesar di Kelantan, mempunyai pekerja 1,820 orang dan beroperasi di Kelantan sejak 30 tahun menjadikan ia tertua di Pengkalan Chepa.
“Yang penting, syarikat ini kini giat diperbesarkan kepada bangunan tiga tingkat dan bangunan moden yang dijangka siap serta bakal dilancarkan pada bulan Mac tahun hadapan, jadi ia memerlukan ramai kakitangan dan MoU ini memperlihatkan usaha APT tepat pada masanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Menerokai Pasaran Antarabangsa bersempena Pameran Rentas Sempadan Asean (ABT) 2016, di sini, kelmarin.
Terdahulu, Mustapa turut menyaksikan MoU berkenaan yang ditandatangani Presiden Rohm Wako, Yukhiro Takizawa dan Hirorki Eto bersama Ketua Pegawai Eksekutif APT, Nafisah Yunus dan Pengurus APT, Siti Fatimah Yunus.
Mustapa berharap, dengan termeterai MoU tersebut, bukan sahaja Rohm Wako dapat dibekalkan dengan pekerja terlatih, sebaliknya rakyat Kelantan mendapat berpeluang bekerja di syarikat elektronik terbesar di dunia itu.
Sementara itu, Nafisah berkata, MoU berkenaan bersesuaian dengan matlamat APT yang ingin membantu belia di Kelantan mendapat pekerjaan di Rohm Wako, seterusnya memberi keyakinan dan semangat kepada penuntut yang ada.
“Alhamdulillah, ia berkebetulan apabila APT berada dalam bidang Mekatronik yang membolehkan penuntut kami yang berdisiplin diserap menjadi pekerja Rohm Wako,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor