Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu perumpamaan kepada dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun yang ditangkap polis selepas terlibat kemalangan di jalan besar Felda Jengka 13, di sini, pagi semalam.
Kedua-dua mereka cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki, dipercayai terbabas dan terbalik ke tebing kanan jalan berdekatan Jengka 24, di sini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, bertindak dari maklumat awam yang melaporkan berkenaan kemalangan dan penemuan pistol pada mangsa kemalangan, polis bergegas ke lokasi kejadian.
“Polis terima makluman dari Balai Jengka berlaku satu kemalangan di tepi jalan Jengka 24 melibatkan kenderaan Pajero terbabas hingga terbalik. Orang awam telah menjumpai dadah dan sepucuk pistol pada badan mangsa dalam Pajero tersebut. Maklumat tersebut segera disalurkan kepada polis.
“Polis telah merampas sepucuk pistol berwarna hitam tanpa kelopak. Bahagian Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran membuat pemeriksaan awal dan senjata tersebut disyaki senjata tiruan yang menggunakan peluru ball bearing,” katanya.
Mat Radzi berkata, kedua-dua suspek dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan setelah dibenarkan keluar oleh pihak hospital, mereka dibawa ke IPD Maran untuk siasatan selanjutnya.
Siasatan awal juga mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang di Jerantut.
Sementara itu, insiden yang dimuat naik dalam laman sosial itu menjadi viral dan menggemparkan penduduk susulan pelbagai dakwaan orang ramai mengenai kejadian itu.
Seorang penduduk, Shuib Ishak, 59, berkata, dia berada di rumah ketika dimaklumkan oleh rakan mengenai sebuah kenderaan terbalik dan bergegas ke lokasi kemalangan untuk membantu mangsa.
“Orang ramai tak berani nak tolong sebab nampak beberapa peralatan lain yang mencurigakan. Penduduk hubungi polis dan ambulans sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. Mangsa berusia 28 tahun dari Kampung Hulu Retang Kuala Tembeling, Jerantut turut mempunyai rekod lampau melibatkan enam kes dadah Akta Dadah Berbahaya, dua kes Langkah Pencegahan Khas (Buang Daerah) dan kes khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Manakala suspek berusia 21 tahun, tiada rekod lampau.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor