Washington - Seorang lelaki Muslim diusir keluar dari pesawat di Amerika Syarikat (AS) kerana menyebut 'insya-ALLAH' sewaktu berbual dalam telefon.
Khairuldeen Makhzoomi, 26, graduan kolej Berkeley, diusir keluar dari pesawat komersial Southwest Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, menurut laporan akhbar The Independent, kelmarin.
Sebaik sahaja menaiki pesawat dan duduk di kerusi, Makhzoomi menelefon pakciknya di Baghdad, Iraq untuk menceritakan pengalamannya bertemu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
Sebelum mengakhiri perbualan, Makhzoomi menyebut Insya-ALLAH yang didengari seorang penumpang wanita tidak jauh darinya. Tidak sampai dua minit kemudian, dua anggota polis tiba dan meminta beliau keluar dari pesawat.
"Saya tidak sangka mereka datang dengan begitu pantas," kata Makhzoomi kepada stesen berita CNN.
Selepas turun dari pesawat, bagasi-bagasi miliknya diperiksa pihak polis menggunakan anjing pengesan dan dompetnya dirampas.
"Amerika adalah sebuah negara bebas. Rakyat menghormati undang-undang tetapi apa yang berlaku kepada saya cukup memalukan," tambah Makhzoomi.
Syarikat penerbangan tersebut tidak membenarkan Makhzoomi menaiki semula penerbangan itu. Dia terpaksa menempah penerbangan lain.
Sementara itu, jurucakap Southwest Airlines, Brandy King dalam satu kenyataan berkata, Makhzoomi disiasat pihak berkuasa kerana mengeluarkan perkataan kononnya mengancam keselamatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor