Mak, kalau boleh biarlah sakit mak pindah dekat Along. Tak sanggup lagi mata ni tengok mak menderita."
Itu kata hati Along ketika melihat penderitaan ibunya dirawat di Hospital Teluk Intan, 15 tahun lalu.
Jika dihitung, Along yang mengambil alih tugas bapanya menjaga insan tersayang itu sebenarnya
tidak lama, iaitu dua minggu selepas ibunya tidak mampu lagi berdiri selepas menanggung kesakitan saraf dalam tempoh yang lama.
Along yang pada ketika itu akan berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ulang alik dari rumah ke hospital setiap hari. Dua jam perjalanan yang ditempuh.
Cuma pada hujung minggu sahaja, Along akan berkampung di hospital bersama bapanya, bergilir-gilir menjenguk ibunya yang terlantar di katil wad rawatan rapi.
Kerusi di taman hospital dijadikan tempat untuk menenangkan fikiran. Surau di hospital berkenaan menjadi tempat untuk lelap seketika. Malah kaki lima hospital menjadi tempat meregangkan badan.
Itu rutin setiap hari Along ketika ibunya dirawat di hospital berkenaan.
Bagaimanapun, selepas dua minggu menderita, ibu Along pergi buat selama-lamanya, bertemu Yang Maha Pencipta.
Itu adalah kisah Along ketika menunaikan tanggungjawab menjaga insan tersayang di hospital. Kisah Along itu merupakan satu contoh.
Perjalanan seorang remaja yang terpaksa melupakan zaman ‘kegilaan’ semata-mata menjaga ibunya sebelum dijemput Illahi.
Bagi Along, biarpun dia berdepan dengan dugaan sedemikian, namun masih ada insan lain yang perit penderitaannya.
Along hanya menghuni hospital dalam tempoh dua minggu. Ada lagi insan lain yang berbulan-bulan lamanya, malah bertahun tinggal di hospital sematamata untuk menemani insan tersayang.
Hakikatnya tidak mudah untuk mereka tempuhi. Sekejap mahupun lama.
Persoalannya di sini, adakah kita mengambil peduli tentang apa yang dirasakan oleh individu yang terpaksa menjadikan hospital sebagai rumah kedua?
Mereka terpaksa lupakan segalanya.
Tidak ada yang bermain di fikiran mereka melainkan berkorban untuk insan tersayang.
Andai itu berlaku, apa yang anda akan rasai jika hospital itu menjadi rumah kedua anda?
Pasti sukar bukan? Namun mahu tidak mahu, anda sebagai bapa, ibu, suami, isteri mahupun anak sudah pasti akan bertindak sedemikian.
Sokongan keluarga itu amat diperlukan oleh insan yang berdepan dengan penderitaan.
Bagi keluarga yang menjadikan hospital sebagai rumah kedua, percayalah, pengorbanan anda cukup bermakna, cukup besar dan amat mulia.
Susah hari ini, bahagia di kemudian hari. Percayalah!
Ikuti kisah keluarga yang berumah tangga di hospital dalam laporan SOROT Sinar Harian minggu ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor