Pages

Tuesday, September 27, 2016

TERAP ASPEK KEBIJAKSANAAN SELESAI MASALAH


Tun Abdullah Ahmad Badawi


Kuala Lumpur - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, aspek kebijaksanaan harus diterapkan dalam menyelesaikan masalah kehidupan dan kesejahteraan manusia.

Beliau berkata, dengan adanya penerapan aspek kebijaksanaan, ia akan membawa penyelesaian yang lebih baik bagi sesuatu permasalahan.

"Melalui perbincangan dan pertukaran pandangan, kebijaksanaan akan diperkaya dan seterusnya dihargai oleh orang ramai di seluruh dunia dan dibawa ke dalam alaf yang akan datang," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Kebijaksanaan Budaya dan Agama di Kampus Universiti Islam Malaysia (UIM) di Cyberjaya hari ini.

Presiden UIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor pula berkata, pendekatan sistematik bagi membangunkan kebijaksanaan sebagai sikap dan kemahiran adalah amat diperlukan.

"Saya rasa universiti akan menjadi institusi yang paling sesuai untuk menjana dan mereka bentuk bidang pengajian baharu yang akan dikenali sebagai 'Kebijaksanaan Gunaan'.

"Saya percaya ia akan meningkatkan semua bentuk usaha untuk menambah kestabilan dan perpaduan di dunia kita," katanya.

Menurut kenyataan UIM, seminar anjurannya yang berlangsung dua hari bermula hari ini, mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran pembentang kertas kerja antaranya dari Algeria, Tunisia, Yemen, Mesir, Iran, Indonesia dan Malaysia.

Seminar kali pertama itu dikendalikan di dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab bertujuan membina kandungan bagi jilid pertama dan kedua UIM Encyclopedia of Wisdom (UIM EOW) yang dijangka diterbitkan pada akhir 2019.

Ia menumpukan kepada dua tema khusus iaitu kebijaksanaan dalam pemikiran, penulisan dan tindakan orang Timur serta kebijaksanaan daripada pelbagai agama seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Confucius dan Taoism.

Antara tiga tokoh terkemuka yang menyampaikan ucap tama adalah Kursi Kepimpinan Islamik, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Felo Pelawat Pusat Pengajian Islam, Universiti Cambridge, United Kingdom Ahmad Keeler.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor