Pages

Sunday, September 11, 2016

STUDIO INAI PERTAMA DI MALAYSIA


Studio inai pertama di Malaysia


Sudah menjadi kemestian kepada pengantin Melayu dan India memakai inai di tangan semasa majlis perkahwinan mereka.

Seiring dengan zaman lebih moden, kini inai boleh dibeli di mana-mana sahaja dan dijual sama ada dalam bekas botol dan berbentuk kon.

Malah kini, kita boleh mengupah tukang inai dengan melukis pelbagai corak pada tapak tangan, jari malah ada yang dilukis hingga ke bahagian atas tangan.

Minat yang mendalam terhadap inai mendorong pemilik Henna Noor Collectionz, Norashikin Ali mempelajari lukisan inai dan seterusnya turut menjadi pembekal inai di seluruh negara serta menubuhkan studio sendiri.

Katanya, dia memulakan perniagaan tanpa menggunakan modal yang besar, namun usahanya berbaloi kerana sering menerima tempahan.

Pada 2007, dia mengikuti suaminya tinggal di Shah Alam dan nekad mengembangkan perniagaannya di Lembah Klang dengan membuka kedai di Uptown Shah Alam.

"Saya melaburkan RM30,000 untuk membuka studio tersebut yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam, pada 2014. Ia bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan saya dan melihat kepada potensi perniagaan ini yang boleh pergi jauh. 

"Selalunya, saya akan menginai pelanggan di Uptown Shah Alam pada waktu malam sahaja. Maklum balas yang terima kebanyakan pelanggan mahu melukis inai pada waktu siang," katanya.

Norashikin mengenakan harga antara RM20 sehingga RM500 bagi melukis inai tangan dan bergantung kepada corak yang mereka mahukan.

"Saya melukis inai lace dan bunga-bunga mengikut kategori Arab, India dan universal. Saya harus memberikan lebih tumpuan ketika melukis supaya coraknya nampak betul-betul seperti pelanggan mahukan,” katanya.

Tambahnya, ada juga pelanggan mahu melukis mengikut idea mereka sendiri, antaranya corak abstrak, lace dan sebagainya yang mengambil masa antara 15 minit ke tiga jam.

"Studio kami juga mempunyai pelamin khas untuk bakal pengantin yang mahu meraikan malam berinai dengan kadar sewa berpatutan," katanya.

Selain menjadi tukang inai, Norashikin bersama rakan kongsinya, Syazwana Rosre menjadi pembekal inai di seluruh negara yang diedarkan Henna Warisan Zaman Enterprise.

“Syarikat kami mengeluarkan lima produk menggunakan jenama D’ Jari Merah by Norish dan Moralee yang terjual 300 botol sejak dipasarkan. Produk kami juga memasuki pasaran Brunei,” katanya.

Norashikin berkata, pada mulanya, dia menolong kawan memakai dan melukis inai pada majlis perkahwinannya. Ramai yang tertarik dengan corak yang dilukis.

“Sejak itu, saya menerima tempahan melukis inai daripada rakan terdekat dan saudara-mara sekitar Johor. Alhamdulillah, sambutan yang diterima di luar jangkaan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor