Keprihatinan seorang guru membantu seorang calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong, di sini yang lewat hadir mendapat perhatian orang ramai melalui sekeping gambar yang dimuat naik di laman sosial.
Guru mata pelajaran Matematik SK Leban Chondong, Normah Salleh, 37, berkata, gambar itu diambil ketika beliau membantu muridnya, Beh Jum Jig Beh Lai Huak yang lewat sampai ke sekolah ke dewan peperiksaan bagi menduduki UPSR pada Rabu lalu
“Murid itu tiba ke sekolah jam 8.28 pagi...ketika itu peperiksaan sudah bermula dan saya segera membawanya ke dewan untuk menduduki peperiksaan.
“Pengawas yang menjaga peperiksaan membenarkan murid itu menduduki kertas Matematik.
"Dia adalah calon Orang Asli berasal dari Kampung Belangkap. Jarak untuk sampai ke sekolah juga antara 20 hingga 30 minit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini kelmarin.
Normah berkata, tindakannya membantu murid itu adalah bagi memastikan anak didiknya tidak ketinggalan menduduki kertas mata pelajaran Matematik pada hari tersebut.
Guru yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu turut mengakui membantu tiga lagi calon UPSR dari sekolah itu dengan menumpangkan mereka di rumahnya sepanjang minggu peperiksaan dijalankan.
Mereka ialah Fatimah Bayo dari Kampung Kerpal, Anna Devi Saravanan (Kampung Pinang) dan Tweeni Tan Beng Hai dari Kampung Belangkap.
“Mereka tinggal di rumah saya sepanjang tempoh UPSR berlangsung dan saya memberikan latihan (ulang kaji) kepada mereka sebagai persediaan menjawab soalan untuk peperiksaan.
“Selain itu, ini adalah inisiatif sendiri sebagai seorang guru untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan disebabkan masalah kewangan yang dihadapi,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Leban Chondong, Nor Aszami Abdul Majid, 46, berkata, dedikasi gurunya itu wajar diberi pujian kerana menunjukkan semangat tinggi seorang guru membantu murid dalam apa juga situasi.
“Tindakan beliau itu memberi peluang kepada murid berkenaan untuk terus menduduki peperiksaan bersama rakan yang lain dan ia adalah usaha murni yang perlu dicontohi guru lain,” katanya.
Beliau berkata, komitmen diberikan itu membuktikan guru bertanggungjawab ke atas semua pelajar di sekolah tanpa melihat kepada prestasi pelajar berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor