WACANA Sinar Harian ke-41 yang berlangsung petang Isnin lalu, bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’, sesungguhnya antara siri wacana yang berjaya - merungkai persoalan dan mendamaikan persengketaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, dua panel jemputan ternyata tidak menghampakan memberi penerangan dengan bahasa yang cukup mudah dan jelas untuk difahami.
Manakala dua panel lagi iaitu Gan Ping Sieu (Ketua Pasukan Perlaksanaan Dasar dan Undang-undang Syariah, MCA Pusat) dan Dr Tan Seng Giaw (Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat) turut menggunakan platform yang diberikan untuk meluahkan perasaan terpendam oleh masyarakat bukan Islam mengenai isu yang dibincangkan.
Tatkala parti-parti politik tanah air sedang bergolak dalam keadaan bercelaru dan tidak tenteram, kehadiran keempat-empat panel yang berlainan parti untuk sedia duduk berwacana secara ilmiah seharusnya dipuji.
Topik ini pada peringkat awal dipercayai sensitif dan didakwa boleh mencetuskan keadaan tegang dan 'panas' dalam dewan, semua panel ini bagaimana pun ketika sama ada menyediakan jawapan mahupun melontarkan persoalan, menunjukkan mereka adalah pemimpin politik yang berfikiran matang dan tidak beremosi.
Terbukti Wacana Sinar kali ini, dengan dikendalikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad sebagai moderator mencipta kejayaan tersendiri yang tidak harus dinafikan oleh mana-mana pihak.
Isu pindaan Akta 355 ini mula menjadi perhatian apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan usul atau notis bagi membawa RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mampu memperluas bidang kuasa mahkamah syariah terhadap pesalah jenayah di Dewan Rakyat, 26 Mei lalu.
Namun Abdul Hadi sendiri memohon untuk menangguhkan perbahasan usul tersebut ke sidang Dewan Rakyat bersidang 17 Oktober depan.
Apa yang menjadi kontroversi dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti-parti bukan Islam ialah cadangan menangguhkan usul Hadi itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong pula oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
RUU yang dibawa Abdul Hadi itu didakwa parti-parti bukan Islam sebagai 'jalan' untuk membenarkan pelaksanaan hukum hudud di negara kita. Semua pemimpin parti komponen bukan Islam dalam BN memberikan kenyataan secara terbuka bahawa mereka akan melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya RUU yang dibawa Presiden Pas itu diluluskan oleh Parlimen.
Begitu juga dengan DAP yang mendakwa BN dan Pas bekerjasama untuk membentangkan usul tersebut bagi tujuan politik malahan mencabar MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak - untuk menyatakan pendirian dan mencabar mereka meninggalkan BN.
Tanpa membiarkan pertikaian berlarutan tiada kesudahannya, antara Umno, Pas dan parti-parti bukan Islam ini sebenarnya perlu mencari titik persetujuan.
Di satu pihak, telah menjelaskan pindaan Akta 355 ini hanya ingin memperkasakan mahkamah syariah dan tidak ada kena mengena dengan bukan Islam; satu pihak pula tetap berpendirian tegas bahawa sekiranya pindaan Akta 355 ini diluluskan, hukum hudud akan menyusul tiba.
Disaksikan oleh penonton dalam dewan dan melalui siaran lintas langsung dibawa SinarTV, pastinya semua yakin dan percaya bahawa Wacana Sinar Harian kali ini benar-benar menjawab segala kekusutan dalam akal fikiran mereka.
Memang tidak dinafikan Umno dan Pas sudah boleh sekata dan sepakat atas isu ini. Penghujahan yang bernas lagi berasas oleh Jamil Khir dan disahut oleh Takiyuddin bersama fakta-fakta meyakinkan bahawa akta pindaan ini tidak sedikit pun menyentuh golongan bukan Islam.
Di atas pentas, Ping Sieu, juga seorang pengamal undang-undang berpengalaman pastinya akur dengan penjelasan yang diberikan oleh kedua-dua pemimpin Umno dan Pas itu. Demikian juga dengan Dr Seng Giaw. Melihat pada reaksinya, beliau nampaknya boleh pulang dengan perasaan tenang.
Bagaimana pula dengan golongan bukan Islam yang lain? Terleraikah kebimbangan yang tersimpul dalam lipatan fikiran mereka? Bagaimanakah mereka dapat diyakini 100 peratus bahawa pindaan Akta 355 ini bukan 'pintu belakang' untuk hukum hudud?
Jamil Khir dan Takiyuddin telah berhujah dengan baik kerana mereka ingin memberikan kefahaman jitu kepada rakyat bukan Islam. Jaminan kedua-dua mereka mengenai pindaan ini hanya diguna pakai ke atas orang-orang Islam seharusnya tidak perlu disangkal oleh semua pemimpin parti dan NGO bukan Islam.
Namun demikian, kerjasama antara Umno dan Pas inilah yang dipertikaikan oleh parti-parti bukan Islam dan seluruh masyarakat bukan Islam.
Mereka dakwa kenapa Umno dan Pas dilihat semakin hari semakin rapat sehingga bersubahat melaksanakan hukum Islam dengan mengenakan ke atas golongan bukan Islam?
Daripada membuat sangkaan yang bukan-bukan, golongan bukan Islam kini hanya perlu menunggu masa menceritakan apakah Umno dan Pas benar-benar tidak memperdayakan mereka.
Perjalanan masa sebenarnya juga mampu menentukan segala-galanya, sejauh mana keikhlasan Umno dan Pas yang sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik semata-mata untuk memastikan RUU persendirian ini berjaya dibahaskan di Dewan Rakyat.
Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’ telah menjadi sejarah, tetapi segala fakta, kenyataan, hujah, penjelasan dan jawapan diungkapkan semua ahli-ahli panel ini boleh dikumpul dan menjadi rujukan yang bernilai.
Jadi, apa yang merisaukan golongan bukan Islam? Jika suatu hari nanti Umno dan Pas mungkir janji dan 'cakap tak serupa bikin', Wacana Sinar Harian bertarikh 5 September 2016, terakam sebagai suara kebenaran yang maha berharga!
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor