Kota Bharu - Perbuatan membuang jin atau syaitan atau dikenali sebagai ‘buang anchak’ di kawasan Pantai Irama, Bachok tidak mustahil berlaku berdasarkan kepercayaan orang dahulu yang mengamalkan pemujaan.
Pengerusi Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) Kelantan, Zaki Ya berkata, mereka yang terdahulu memang terkenal melakukan buang anchak untuk memuja makhluk halus.
“Mereka melakukan buang achak dengan cara mengadakan pesta, meletakkan makanan seperti ayam panggang dan ia dihanyutkan ke laut bertujuan kononnya untuk membuang jin atau syaitan.
“Ada juga yang memanggil perbuatan itu sebagai ‘pelepas’. Jin atau syaitan apabila ia berada di situ, ia takkan lari dan boleh mengganggu mereka yang berada berdekatan dengannya , sama ada di pantai, dalam hutan dan sebagainya,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan kejadian lemas di Pantai Irama yang meragut nyawa, Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman, 16, manakala seorang lagi mangsa, Mohd Faisal Mohd Noor, 38, terselamat dalam kejadian terbabit.
Mohd Faisal menceritakan, semasa mandi dekat waktu Maghrib, dia mendakwa terdengar bisikan halus yang bersuara mengatakan ‘aku nok belako puok-puok mu’ menyebabkan dia sempat meminta anak-anak buahnya naik ke darat dan menyelamatkan diri dengan memecat baju serta mengapungkan badan.
Zaki berkata, berdasarkan cerita dari kejadian itu, suara yang didakwa didengari tersebut boleh jadi betul memandangkan jin atau syaitan tersebut memilih Mohd Faisal untuk mendengarnya.
“Biar orang lain tak boleh dengar bisikan halus itu, tetapi jin atau syaitan sudah memilih dia (Mohd Faisal) untuk dengar, mungkin orang lain tidak dengar, namun perkara itu tidak mustahil berlaku.
“Orang terpilih sahaja boleh mendengar suara itu atau dua, tiga orang lagi biarpun orang lain tidak dengar, namun ada yang dipilih mendengar suara itu sebagai petunjuk kejadian,” katanya.
Kata Zaki, aktiviti mandi watu petang atau waktu berdekatan Maghrib juga menjadi faktor kejadian tersebut kerana dekat Maghrib, jin atau syaitan aktif pada masa berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor