Bachok – Kes viral di laman sosial yang mendakwa menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sebuah sekolah di Rantau Panjang semalam tidak berbaloi dengan harga RM2.50 adalah tuduhan tidak berasas dan bermotif negatif untuk menjatuhkan nama baik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Kelantan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, selepas perkara itu disebarkan, pihaknya segera mengarahkan pegawai PPD Pasir Mas untuk menyiasat perkara tersebut.
Beliau berkata, selepas siasatan dilakukan pihaknya mendapati menu yang disediakan pihak kantin untuk RMT ialah nasi goreng yang mengandungi lauk ayam, bersama tembikai dan air milo.
“Masa tu pihak kantin masih dalam proses menyediakan hidangan sarapan untuk murid dan belum siap sepenuhnya. Sosej yang diletakkan dalam nasi goreng itu adalah lauk tambahan penender kantin sendiri untuk menarik minat murid untuk bersarapan.
“Justeru, tuduhan itu memang tidak berasas kerana setiap menu yang disediakan penender kantin akan diteliti pihak sekolah terlebih dahulu. Saya percaya kualiti dan kuantitinya memang menepati garis panduan yang diberikan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Sumber Datuk Ab Aziz Abdullah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak Jabatan Pendidikan Kelantan amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan lebih RM29 juta tahun ini untuk RMT seluruh Kelantan yang melibatkan 70,294 murid dari keluarga kurang berkemampuan yang berpeluang memulakan persekolahan dengan sarapan percuma di sekolah.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi viral dan sewajarnya dikemukakan melalui saluran yang betul.
Katanya, ia perlu dibawa kepada pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau kepada pihak beliau sendiri yang sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau maklum balas daripada ibu bapa dan guru.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor