Kuala Terengganu - Gara-gara gagal hadir ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) lima tahun lalu, seorang mekanik berusia 23 tahun diperintah jalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Tertuduh ketika itu berusia 18 tahun dijatuhi hukuman selepas mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) Pindaan 2009 (Akta 1354).
Dia mengaku salah tidak menghadirkan diri di Stesen Bas Tanjung, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, pada jam 9.30 pagi pada 10 September 2011, untuk melaporkan diri bagi mengikuti PLKN Kumpulan 3 Siri 8/2011 seperti yang dikehendaki Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).
Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara keluarga termasuk bapa lumpuh, adik yang masih bersekolah di tingkatan empat serta ibu yang hanya bekerja sebagai tukang sapu.
Abdul Hayyi kemudian memerintahkan anak kelima daripada tujuh beradik itu menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan dengan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama tiga jam setiap hari.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh sepatutnya melaporkan diri di Stesen Bas Tanjung, di sini, jam 9.30 pagi, pada 10 September 2011 untuk mengikuti PLKN di Kem PLKN Latihan Etnobotani Gua Musang, Kelantan.
Ketua Pengarah JLKN ketika itu, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil membuat laporan polis terhadapnya selepas semakan mendapati dia gagal hadir PLKN.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor