Pages

Tuesday, September 6, 2016

[MARAN] MAHU KEKAL PRESTASI HEBAT

Mahu kekal prestasi hebat



Daerah Maran menyasarkan peningkatan 22 peratus kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR 2016, berbanding hanya 20 peratus tahun lalu.

Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Jalani Ludin berkata, sasaran itu jika dapat dicapai sekali gus menjadikan daerah ini terus mengekalkan prestasi sebagai daerah paling cemerlang UPSR peringkat negeri Pahang selama sembilan tahun berturut-turut.

Menurutnya, seramai 1,770 murid-murid tahun enam seluruh daerah ini menduduki peperiksaan itu, semalam.

“Hari ini (semalam) bermulanya peperiksaan UPSR sehingga 9 September. Diharapkan murid-murid mampu peroleh kecemerlangan yang lebih bagi mengekalkan momentum pencapaian murid-murid terdahulu.

“Kita sedia maklum pada tahun ini UPSR didatangkan dengan format baharu iaitu 6A apabila Bahasa Inggeris dijadikan dua kertas iaitu Bahasa Inggeris Penulisan dan Bahasa Inggeris Pemahaman.

“Hal ini memberikan cabaran buat guru dan tugas mereka kini lebih sukar untuk mendidik murid dan mencapai kecemerlangan mendadak. Namun kita percaya, dengan usaha gigih pihak sekolah serta program-program yang dijalankan sepanjang tahun akan membantu meningkatkan pencapaian para pelajar UPSR 2016,” katanya.

Dalam pada itu, Jalani berkata, dalam usaha memantapkan pengurusan antara pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah, program Jom Kita Cekap telah dirangka dan dijalankan untuk mencakna kepimpinan guru-guru dalam pengajaran.

Katanya, program itu menekankan guru besar sekolah untuk memberikan perhatian dan masa yang lebih kepada kerja-kerja kepimpinan pengajaran dan pada masa sama memantapkan pengurusan akademik serta meningkatkan pengetahuan pelajar.

“Antara program yang dijalankan adalah bengkel melibatkan penyertaan guru besar sekolah-sekolah daerah Maran. Pengisiannya dari segi ilmu kepimpinan, mendedahkan teknik dan kaedah pembelajaran terkini.

“Guru besar diberikan pendedahan bagaimana melaksanakan tugas yang lebih utama dalam sistem sekolah.

“Sasaran bengkel ini adalah kepada kepala sekolah itu sendiri, iaitu guru besar seiring hasrat kita untuk meningkatkan peratus penglibatan pengetua dan guru besar sekolah. Ia melibatkan guru besar peringkat rendah dan menengah,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor