“20 tahun lalu dah ada sejarah penduduk kampung ini maut diserang gajah. Jadi kami tak nak sejarah lama berulang,” kata Ketua Kampung Batu 9, Nadzri Kamaludin.
Nadzri berkata, masalah gangguan gajah liar yang kerap berlaku di Kampung Batu 9, Kuala Kenong dan Lentang menyebabkan lebih 500 penduduk di tiga kampung terbabit hidup dalam ketakutan.
Menurutnya, ekoran kejadian serangan gajah liar itu kebun buah dan ladang getah milik penduduk kampung musnah.
Katanya, tahun ini sahaja tiga kali serangan gajah berlaku di kampung berkenaan dan haiwan terbabit dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran untuk mencari makanan.
“Dalam kejadian terbaru malam semalam (kelmarin) sekumpulan gajah dipercayai lebih daripada dua ekor masuk kebun buah milik penduduk di Kampung Lentang dan Kuala Kenong.
“Akibatnya, hampir 30 batang pokok dokong dan pisang musnah dilanyak gajah liar berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Nadzri berkata, serangan gajah telah menyebabkan penduduk kampung fobia dan gerun untuk keluar menoreh getah kerana bimbang diserang haiwan liar berkenaan.
Menurutnya, masalah itu menyebabkan sumber pendapatan penduduk terjejas kerana majoriti daripada mereka bergantung sepenuhnya pada hasil getah.
“Dahlah harga getah murah, bila jadi serangan gajah ini penduduk tak turun menoreh sampai seminggu sebab bimbang kalau-kalau terserempak dengan haiwan tersebut.
“Tak lama lagi sekolah nak buka jadi timbul kebimbangan dalam kalangan guru-guru yang mengajar di Sekolah Batu 9 untuk berulang alik dan terserempak gajah di tepi jalan,” katanya.
Bagi seorang pekebun, Zaabar Abdul Rahim, 65, berkata, ketika datang menjenguk kawasan kebun buah miliknya di Kampung Kuala Kenong pagi semalam dia terkejut apabila melihat lebih empat batang pokok dokong musnah akibat diserang gajah.
Menurutnya, kebun seluas satu setengah ekar itu mempunyai hampir 100 pokok buah-buahan pelbagai jenis yang kini berbuah lebat dan menjadi sasaran haiwan liar tersebut sebagai sumber makanan.
“Pokok-pokok tanaman berusia hampir 20 tahun ini telah musnah kerana diserang gajah liar yang datang dari hutan berhampiran.
“Saya khuatir jika tiada tindakan diambil haiwan berkenaan akan menyerang dan memusnahkan lebih banyak pokok buah serta menyebabkan penduduk menanggung kerugian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor