Pihak berkaitan digesa memindahkan pasar daging babi bersebelahan Pasar Besar Kuantan di sini, ke lokasi lebih sesuai untuk keselesaan orang ramai dan menjaga sensitiviti umat Islam.
Pasar itu terletak hanya kira-kira lima meter dari pasar besar dan di tengah pusat bandar yang menjadi tumpuan ramai.
Peniaga kedai makan, Faizuman Othman, 48 berkata, dia mengambil stok barang basah di Pasar Besar Kuantan hampir setiap hari dan kewujudan pasar daging babi berdekatan sedikit sebanyak mengganggu keselesaannya berurusan di situ.
“Saya perhatikan terdapat pembeli bukan Islam keluar daripada pasar daging babi itu terus ke pasar biasa bawa daging dibeli.
“Tanpa mereka sedari, saya nampak ada air menitik dari bakul barang mereka, kadang-kadang terasa was-was dan curiga sama ada air itu daripada daging babi atau sebaliknya.
“Namun saya hanya berprasangka baik dan tak fikir bukan-bukan sahaja,” katanya di sini, semalam.
Rosmawati Sulong, 45, pula berkata, dia berasa jijik setiap kali menggunakan laluan bersebelahan pasar babi berkenaan.
“Rasanya sudah sampai masa pasar itu dipindahkan,” katanya.
Peniaga sayur, Roniyah Mamat, 54, sudah tidak tahan dengan bau babi terpaksa dihidu setiap hari.
“Sudah lama saya mohon pihak berwajib ambil tindakan tetapi hingga sekarang mereka hanya kata masih mencari lokasi sesuai,” katanya.
Sorang lagi peniaga, Musa Mamat, 57, berkata, ketika hujan lebat air dari pasar daging babi itu akan mengalir dan melimpah ke jalan sehingga ke tangga pasar bersebelahan.
Sementara itu, bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, penempatan semula pasar daging babi bukan sahaja dapat menjaga sensitiviti umat Islam, tetapi juga turut memberi manfaat kepada masyarakat bukan Islam.
“Pasar daging babi Kuantan yang ada sekarang bukan sahaja kotor, tetapi juga tiada fasiliti yang baik.
“Sekiranya pasar baharu dibina dengan infrastruktur bersesuaian termasuk parkir, ia pasti akan memudahkan mereka selain menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor