Kerajaan negeri Pahang menyambut baik dan menyokong langkah kerajaan persekutuan untuk mengawal selia industri perlombongan, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Kami akan beri sokongan yang diperlukan untuk memastikan industri itu terus berdaya tahan serta memberi manfaat kepada semua pemegang taruh," katanya kepada Bernama sebagai respons terhadap lanjutan terbaru tempoh moratorium bauksit.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu satu sidang akhbar hari ini bahawa Kabinet bersetuju melanjutkan tempoh moratorium bagi bauksit sehingga 31 Disember.
Tempoh moratorium sekarang berakhir pada 15 September.
Wan Junaidi berkata perlanjutan itu bertujuan membolehkan simpanan stok bauksit di Sungai Ular, Felda Bukit Goh dan Gebeng di sini, yang berjumlah 4.13 juta tan metrik, dikosongkan.
Ini adalah lanjutan kali ketiga, selepas moratorium dari 15 Jan hingga 14 April dilanjutkan kepada 15 Julai dan kemudian dilanjutkan dua bulan lagi.
Sementara itu, pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbat Othman juga menyambut baik perlanjutan moratorium itu sehinggalah kerajaan dapat mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi memastikan tidak lagi wujud aktiviti melombong secara haram.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abdul Wahid Abd Manap pula berkata perlanjutan berterusan itu boleh menimbulkan masalah kewangan bagi mereka yang bergantung penuh terhadap bauksit dan mungkin mendorong wujudnya aktiviti melombong secara haram.
Katanya, media melaporkan tentang kegiatan mencuri bauksit berikutan penangkapan sembilan lelaki yang dipercayai bertindak sebagai 'tonto' di sekitar Bukit Goh bulan lepas.
Presiden Persatuan Usahawan Bijih Besi Pahang Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad berharap perlanjutan tempoh moratorium itu akan segera ditamatkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan pengusaha bauksit, tetapi juga ekonomi tempatan seperti penduduk dan pengusaha kedai makan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor