Tiada siapa yang menduga, dahulunya remaja 15 tahun ini aktif, cergas dan lasak orangnya, namun kini dia hanya mampu terlantar.
Hasmira Khairuddin tidak menyangka sakit kaki yang dialami selepas tiga hari membantu seorang guru membersihkan stor di kuarters sebuah sekolah pada Ogos lalu, mengundang detik hitam kepadanya.
Ibunya, Husliza Hussin, 38, berkata, dia sedih melihat penderitaan dialami anak perempuannya itu.
Menurutnya, Hasmira ada mengadu sakit kaki selepas membantu seorang guru mengeluarkan barang di dalam bilik stor yang tidak pernah digunakan sejak tujuh tahun lalu.
“Saya tak tahu Mira (Hasmira) bantu gurunya kemas rumah sampailah dia mengadu sakit kaki.
“Saya pergi ke sekolah dan bawa dia ke klinik swasta tetapi sakitnya tak baik, malah menjadi-jadi sejak sebulan lalu. Saya tak sanggup lihat keadaan dia makin teruk jadi bawa dia ke Klinik Kesihatan Maran dan terus di bawa ke sini (Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada minggu lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, ketika membantu guru tersebut mengemas kuarters terbabit, Hasmira memberitahu dia mengeluarkan beberapa barang seperti tayar, kayu, besi, kerusi roda dan pelbagai barangan lain di dalam stor tersebut ke pusat pelupusan sampah berhampiran kuarters terbabit.
Katanya, selain mengangkat barang yang berat, dia juga terpaksa turun naik tangga dan berulang alik dari kuarters ke pusat pelupusan sampah itu hampir enam kali.
“Saya sedih dan terkilan kerana dia terpaksa buat kerja-kerja berat yang tak sepatutnya dilakukan pelajar,” katanya.
Husliza berkata, sehingga kini doktor masih gagal mengesan penyakit sebenar dialami oleh Hasmira, namun keadaannya semakin lemah dan kakinya semakin hari semakin lembik.
Katanya, pemeriksaan darah dan imbasan X-Ray telah dilakukan, tetapi keputusan tersebut akan diketahui dalam tempoh empat hari lagi.
“Kini dia mula alami sakit-sakit pada bahagian pinggang hingga ke kaki dan dah tak boleh berdiri. Sejak dia ada di hospital, saya terpaksa berhenti berniaga sementara sebab nak uruskan dia,” katanya.
Husliza berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban yang ditanggung anaknya itu sekiranya telah disahkan penyakit dihadapi.
Katanya, dia merayu simpati orang ramai memandang dia kini tiada pendapatan kerana tidak berniaga sejak sebulan lalu.
Tambahnya, suaminya, Saiful Lizam Lazam, 43, hanya bekerja sebagai tukang kebun di sekolah dengan pendapatan tidak seberapa malah perlu menyara enam anak termasuk lima yang masih bersekolah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor