Sebut tentang lambat kahwin melibatkan wanita bekerjaya, pasti ramai kenalan kita yang tergolong dalam kelompok ini, kedudukan sudah kukuh, berpendapatan tetap, punya aset di sana sini tapi masih sendiri.
Isu ini menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyarankan keluarga memainkan peranan mencarikan pasangan untuk ‘anak dara emas’ ini.
Kalau 20 tahun lalu mungkin sudah dipaksa kahwin dek ibu bapa kerana bimbang anaknya digelar anak dara tua tapi seiring perkembangan zaman, ia tidak lagi dianggap luar biasa malah ramai ibu bapa sudah tidak kisah.
Rata-rata wanita lewat usia ini yang masih bujang akui kesibukan kerja menjadi salah satu faktor mereka tidak mempunyai waktu sesuai untuk bergaul dengan orang lain selain serik dengan pengalaman lampau dikecewakan.
Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Soraya, 30, berkata, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia jarang dapat bersosial seperti rakan-rakan lain.
“Memanglah kita nak berkahwin tapi tak ada calon sesuai lagi ditambah dengan waktu kerja tak menentu dan waktu cuti pun tak sama macam orang lain. Kalau waktu cuti pula saya lebih memilih untuk berehat di rumah sebab dah penat kerja,” katanya kepada Sinar Online.
Sarah, 31, juga senada akui kekangan masa menyebabkan dia masih belum bertemu calon yang sesuai.
“Lepas balik kerja memang terus balik rumah dan rehat. Tak ada keluar-keluar lagi dah. Tapi lewat kahwin ini beri saya peluang untuk luangkan masa lebih dengan keluarga.
“Memang ada keluarga kenalkan tapi kurang sesuai dengan saya. Tak bolehlah nak tangkap muat sahaja kan? Sebab saya nak cari yang serius untuk berkahwin bukan nak bercinta, tarik tali,” katanya.
Manakala Madiha, 35, berkata, selain tanggungjawab kepada keluarga, pengalaman lampau membuatkan dia serik untuk membina hubungan baharu.
Amy pula memberitahu pada usia 34 tahun ini, dia sering didekati lelaki berstatus duda, lelaki yang lebih muda ataupun suami orang.
“Mungkin sebab sekarang saya dah selesa sendiri, tak nak tambah komitmen lagi.
“Kalau yang dekat dengan saya pun sebab nak tumpang kesenangan saja. Susah nak jumpa yang elok. Saya memang elakkan berkawan dengan suami orang,” katanya.
Bagi Siti, 36, tahun pula menolak alasan lambat kahwin kerana kerjayanya namun menyifatkan jodoh buatnya masih belum tiba.
“Yang penting kita gembira. Kalau kahwin sebab terdesak belum tentu bahagia. Tak ada siapa pun tak nak kahwin, tak nak ada keluarga.
“Sama lah dengan yang dah kahwin tapi tak ada anak lagi. Semua nak anak tapi mungkin sebab tak sampai lagi jodoh kita,” katanya.
Wanita bekerjaya dan berjaya! Sukar nak dapat jodoh yang sekufu. Tambah-tambah lagi bagi wanita Melayu Islam. Masalahnya terdapat lebih ramai lelaki Melayu Islam yang tak berjaya dan tidak ada potensi maju diri dalam kerjaya!
ReplyDelete