Nasib empat keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Batu 1 di sini, 14 Ogos lalu, mendapat pembelaan menerusi sumbangan yang disalurkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resan Negeri Pahang (Muip), semalam.
Mangsa, Zakaria Abdul Aziz, 31, berkata, dia yang bekerja sendiri kini terpaksa menyewa rumah lain dengan kadar sewa lebih tinggi selepas bencana berkenaan.
Menurutnya, dia yang sebelum ini tinggal menyewa di salah sebuah daripada empat rumah terbakar itu bersyukur kerana keluarganya terselamat.
"Masa tu, saya, isteri dan dua anak kami balik Terengganu. Alhamdulillah, kami semua terselamat daripada bencana tu.
"Saya hanya tahu bencana di selepas dimaklumkan jiran-jiran," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan yang disempurnakan Pegawai Muip Jerantut, Nik Ahmad Tarmizi Nik Lam.
Sementara itu, penerima sumbangan, Amiruddin Abdul Hamid, 50, berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian itu kerana menjaga isterinya yang sakit di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
"Tak ada apa yang dapat saya selamatkan, semua musnah dalam kejadian tu. Sekarang kami terpaksa menyewa rumah lain.
"Kami tak ada apa-apa dah, tambah lagi saya tak dapat kerja sebab kena jaga isteri yang sakit," katanya yang berkerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM750 sebulan.
Bagi Mohd Zuraini Abdul Rahim, 40, meskipun tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur anak dan isterinya yang berada di rumah ketika kejadian, terselamat.
“Masa tu saya tak ada di rumah, hanya ada anak dan isteri. Mujur mereka sempat lari... kalau tak entahlah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Peniaga kedai makan, Roslan Deris, 44 yang rumahnya turut musnah dalam kebakaran itu berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik mendengar jeritan jiran memberitahu rumahnya terbakar kira-kira jam 6 pagi.
"Masa tu, saya tengah masak di kedai depan rumah dan kebakaran tu menyebabkan saya kerugian kira-kira RM80,000.
"Apa pun, saya bersyukur sebab banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan, cumanya sekarang saya terpaksa tinggal di bilik kecil di belakang kedai," katanya.
Menurutnya, hanya itu yang termampu kerana belum mempunyai wang mencukupi untuk membina semula rumahnya yang musnah.
"Kami sekeluarga terpaksa berhimpit-himpit dalam bilik kecil tu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor