Pages

Saturday, September 10, 2016

[JENGKA] BERLATIH SELAMA 12 JAM SEMINGGU


Berlatih selama 12 jam seminggu


Pasukan pancaragam Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (Pulapa) mempergiatkan latihan untuk menjadikan pasukan tambor itu setaraf pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Leftenan Kolonel Pertahanan Awam, Komandan Mohd Nazri Mes Kam berkata, 25 ahli pancaragam aktif memberikan yang terbaik buat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, Pulapa satu-satunya pasukan tambor APM mewakili Wilayah Timur di Jengka Pahang.

“Fungsi utama pasukan ini mengiringi perarakan dan kawalan kehormat perbarisan yang biasanya dimulai dengan lagu Negaraku, APM dan iringan jalan masuk. Meski nampak remeh, namun kewujudan pasukan pancaragam ini sama penting dengan keperluan lain dalam APM.

“Kita mahu jadi pasukan pancaragam terbaik, setanding pancaragam ATM, itu sasaran utama," katanya.

Menurutnya, peserta di pusat latihan ini, dikehendaki menjalani latihan enam jam, sekurang-kurangnya dua kali seminggu di bawah pimpinan guru, Radzuan Abu Hanipah.

“Komitmen tinggi dan kita dapat lihat peningkatan prestasi mereka setiap kali membuat persembahan.

"Kita baru selesai acara sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur dan dalam persediaan untuk persembahan Pentauliahan Pasukan Institusi Pertahanan Awam Oktober ini,” katanya kepada Sinar Harian di Pulapa Bandar Pusat Jengka, semalam.

Selain terlibat pada acara penting sambutan kenegaraan, pasukan pancaragam itu juga aktif melakukan persembahan di peringkat jabatan, menerusi Kugiran Irama Biru.

Sementara itu, Radzuan berkata, sukatan pelajaran meliputi teknik memahami konsep muzik pancaragam; mempelajari cara membaca nota muzik seperti ledger line, clef, nilai note, time signature rhythm dan sebagainya untuk membolehkan peserta membaca bahagian lagu yang bakal dimainkan dengan tepat dan betul.

"Mereka diajar cara memegang peralatan muzik fingering, teknik tiupan dan cara bermain lagu sambil berjalan di padang kawad," katanya.

Drum Major, juga pemain posisi trumpet, Koperal Mohd Fauzi Abu Seman, 32, yang menyertai APM sejak 2005 antara peserta terawal menerajui pancaragam berkenaan.

“Banyak pengalaman sepanjang bersama APM dan pasukan ini bawa saya sertai pelbagai persembahan pancaragam antaranya perbarisan untuk siswa siswi, institut APM dan mana-mana jemputan pihak luar,” katanya.

Ketua Pancaragam, Pbt Muhammad Jamsaiful Ibrahim, 33, yang memegang posisi penyanyi dalam pasukan kugiran, berkata, aktiviti sebegini ibarat kokurikulum khusus yang bermanfaat kepada anggota.

“Sama macam latihan kawad, ia melatih disiplin dan menuntut komitmen yang tinggi,” katanya.


1 comment:

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor