Shah Alam - Jasad Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din bakal disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini.
Melalui satu kemas kini di Facebook rasmi Allahyarham, ahli keluarganya memaklumkan perkara itu.
Menurutnya, keputusan itu diambil kerana mereka mahu menguruskan jenazah Allahyarham dengan cepat dan sempurna.
“Baba akan disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk membawa baba balik ke Malaysia. Semua pilihan ada pro dan kontra. Kami berbincang dan menimbang semua itu. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat.
“Kami memilih untuk menguruskan jenazah Baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan Baba di California,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan pada pagi Jumaat waktu Amerika Syarikat dan dikafankan sebelum disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid An-Nur, Santa Clara, California.
Allahyarham dilaporkan telah mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di Perlis untuk mengebumikannya di Amerika Syarikat jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.
Sementara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah berhubung dengan keluarga Allahyarham mengenai perkara itu.
“Baharu bercakap dengan keluarga Tuan Guru Dr Haron Din. Keluarga sepakat pengebumian di San Francisco. Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” tulisnya di Twitter.
Sebelum ini Ahmad Zahid memaklumkan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menguruskan jet untuk membawa jenazah pulang ke tanah air.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi ini kira-kira jam 10.05 pagi pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor