Pages

Thursday, September 15, 2016

DOF SANGKAL DAKWAAN IKAN TILAPIA BOLEH BAWA MAUT


Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)


Shah Alam – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa pengambilan ikan tilapia boleh membawa penyakit dan mengakibatkan maut.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook rasminya, DOF memaklumkan bahawa tiada sebarang laporan saintifik (di dalam dan luar negara) berkaitan terdapatnya sel kanser pada isi ikan tilapia.

Selain itu, DOF turut menyatakan bahawa tiada juga sebarang laporan saintifik mengaitkan isu penggunaan makanan ikan yang dicampur hormon dan agen penggalak tumbesaran diamalkan dalam industri ternakan tilapia di negara ini.

Katanya, pengusaha ternakan ikan tilapia pada masa ini kebanyakannya menggunakan strain talapia yang ditambahbaik melalui pembiakbakaan (selective breeding), kacukan dan hybrid untuk tujuan meningkatkan kadar tumbesaran.

Oleh sebab itu, penggunaan hormon dan agen penggalak tumbesaran tidak diperlukan dan hanya menyebabkan pembaziran serta akan meningkatkan kos operasi.

Dalam pada itu, DOF menjelaskan bahawa kajian saintifik yang dijalankan oleh FRI bersama WorldFish pada tahun 2010 berkaitan kandungan fatty acid dalam isi tilapia mendapati paras omega-3 lebih rendah berbanding Omega-6.

Difahamkan, penentuan risiko kepada kesihatan manusia untuk penyakit dibuat dengan mengira nisbah omega-6 kepada omega-3 dan jika nilainya melebihi 5, maka ia dianggap berisiko kepada kesihatan manusia.

Namun begitu, kajian ini mendapati bahawa nisbah yang direkodkan adalah 3.3 yang menunjukkan ia jauh lebih rendah daripada paras berisiko tersebut.

Tambah DOF, ikan tilapia di negara ini berpotensi besar dalam pasaran domestik dan eksport serta mempunyai stok ternakan yang baik serta selamat untuk dimakan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor