Adakah masyarakat kini boleh berfikiran secara matang dalam isu kebebasan media ini? Turut menjadi persoalan adalah mereka sendiri boleh berlapang dada serta berfikiran terbuka dalam penyampaian berita oleh media?
Menurut pendapat penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, masyarakat secara keseluruhannya perlu memahami apa itu kebebasan media.
“Adakah mereka sudah bersedia dan boleh menerima berita yang akan disampaikan oleh pihak media nanti tanpa ada sebarang bantahan?
“Persediaan dari bentuk emosi perlu ada untuk menjamin sifat rasional mereka apabila berhadapan dengan berita yang tidak disukai oleh mereka kelak,” katanya
Fahami makna
Katanya juga makna kebebasan media membawa kepada banyak maksud.
“Sama ada kebebasan media ini membawa maksud bahawa media boleh menulis apa sahaja berita yang mereka rasakan masyarakat ada hak untuk tahu.
“Ataupun sama ada masih ada penyuntingan yang perlu dibuat mengikut konteks yang dipaparkan oleh wartawan tersebut,” katanya lagi.
Bergantung
Jelasnya lagi, semua ini bergantung juga pada konteks negara. Jika rakyat lebih kepada media sosial ataupun masih lagi bergantung pada media arus perdana untuk menyampaikan maklumat.
“Dalam konteks ini kita kena lihat kebergantungan rakyat pada media sama ada ia media arus perdana atau pun media sosial.
“Kemudian kita kena lihat pula konteks yang disampaikan oleh kedua-dua media tersebut lihat perbezaan kedua-dua berita itu,” tambahnya lagi.
Pemilikan mainkan peranan besar
Tambahnya lagi, pemilikan memainkan peranan yang besar dalam bentuk saluran berita yang disampaikan.
“Setiap pemilikan mempunyai perbezaan dari segi saluran berita mereka. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui konteks media arus perdana serta media sosial.
“Contohnya kita dapat lihat melalui media alternatif yang dilihat berkongsi berita yang akan memberi keuntungan pada rakyat,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor