Pages

Monday, September 12, 2016

ANAK KECIL BANGUN PAGI DEMI #QURANHOUR


Anak kecil bangun pagi demi World #QuranHour


Gombak - World #QuranHour yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini menyaksikan ribuan umat Islam mengalunkan ayat al-Quran tepat jam 9.30 pagi semalam.

Seluruh masyarakat Islam di dunia bersatu dengan nama al-Quran pada Hari Wukuf 9 Zulhijjah yang jatuh pada hari ini.

Teruja untuk berada di sini, Mohd Annas Ajwan Noor Hisyam,10, berkata, dia yang bangun sejak 3.30 pagi tadi sudah bersedia untuk bersama-sama umat Islam dalam World #QuranHour.

Katanya, dia sanggup datang awal dan tidur di masjid kerana tidak mahu terlepas perjalanan program.

"Saya datang bersama bapa hari ini. Kami bangun awal untuk bersiap sedia ke World #QuranHour dan memang kami teruja untuk berada di sini.

"Sebelum program bermula kami sudah baca al-Quran sebagai persediaan," katanya ketika ditemui Sinar Online.

Sama seperti sahabatnya, Mohd Akhil Khair Mohd Fairuz, 11, dia dan keluarganya sudah bersedia sejak jam 4 pagi untuk bersama menyertai gerakan World #QuranHour.

Mohd Akhil berkata, dia bersama rakan-rakan sebaya mengalunkan surah al-Imran dalam program hari ini.

"Seronok dapat bersama-sama dengan semua orang di sini. Saya datang ke masjid bersama keluarga sejak jam 7 pagi lagi " katanya.

Sementara itu, seorang pelajar UIAM, Chaeeun Wang daripada Korea berkata, dia bersedia awal untuk menyambut kedatangan World #QuranHour.

Tidak kisah hadir sendirian, Wang berkata, dia gembira dan teruja dapat melihat seluruh umat Islam berkumpul untuk matlamat yang sama.

"Saya datang seorang diri, tapi dapat kawan baru di majlis hari ini. Seronok tengok umat Islam berkumpul untuk bersama-sama menghayati al-Quran di hari yang istimewa ini," katanya.

Sementara itu, pelajar UIAM, Na Li Fan, daripada China berkata, program ini merupakan platform bagi umat Islam untuk mendalami al-Quran.

"Program ini sangat bagus kerana ia membuatkan orang Islam sedar tentang kepentingan membaca al-Quran," ujarnya.

Dalam pada itu, Saregengordu, daripada Turki mengakui membuat keputusan untuk menyertai gerakan World #QuranHour hari ini berdasarkan pemilihan tarikhnya yang jatuh pada 9 Zulhijjah.

"Pertama sekali apabila saya mendengar mengenai program ini saya berasa sungguh gembira, tarikh yang dipilih juga sungguh bermakna iaitu bersamaan dengan hari wukuf di Arafah," katanya yang ditemui pada program sama, semalam.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor