Pembinaan pengadang jalan oleh Majlis Daerah Bera (MDB) di persimpangan Klinik Kesihatan Bandar Triang dan Taman Cheng Siew yang siap sepenuhnya awal bulan lalu, lebih memudahkan dan menjamin keselamatan pengguna.
Bagaimanapun tindakan segelintir penduduk yang sukar menerima perubahan itu kerap mengambil jalan mudah apabila sengaja tidak mengikut laluan baharu disediakan, malah sengaja membahayakan diri membuat pusingan U di kawasan dilarang.
Penghulu Mukim Triang 1, Mohamad Kamal Omar berkata, usaha MDB menaik taraf jalan itu dinantikan penduduk berikutan kemalangan kerap berlaku di persimpangan itu sebelum ini.
“Bukan saja penduduk yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan mudah untuk keluar simpang, malah laluan trafik baru itu dipercayai meningkatkan keselamatan untuk mengurangkan risiko kemalangan.
“Tetapi, ada segelintir penduduk yang sukar menerima perubahan ini. Mereka sanggup buat pusingan U atau masuk di kawasan pejabat saya semata-mata untuk tukar hala laluan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Menurutnya, perkara rutin yang mengalami perubahan sememangnya mengambil masa untuk diterima, namun beliau berharap mereka dapat membiasakan diri mematuhi peraturan baharu ini.
Beliau berkata, kebiasaannya mereka yang keluar dari simpang Taman Cheng Siew mengambil tindakan membahayakan semua pengguna dan berikutan itu juga, tembok pagar Pejabat Penghulu mengalami kerosakan kerana dilanggar lori.
“Masyarakat kena faham hasrat kerajaan melakukan perubahan seperti ini adalah untuk kepentingan semua. Jadi, mereka kena membiasakan diri dengan perubahan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Triang, Soo Siew Leng, tidak menafikan ada penduduk yang sengaja ambil jalan mudah dan beranggapan, pengubahsuaian lalu lintas di persimpangan itu menyusahkan mereka.
Menurutnya, MDB sudah melakukan kajian sebelum membuat perubahan itu, dan pengguna masih boleh menggunakan laluan lain.
“Bukan tiada jalan lain, cuma mereka mahu jalan mudah yang senang untuk mereka. Tanpa sedar, perbuatan itu sebenarnya membahayakan nyawa pengguna.
“Jadi saya harap, masyarakat dapat mematuhi peraturan lalu lintas ini dan menerima perubahan dengan hati terbuka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor