Melaka Tengah - Seorang warga emas sanggup menunggang motosikal sejauh hampir 20 kilometer untuk melepaskan gian menghisap dadah bersama rakan-rakannya di sarang penagihan baharu di bawah jambatan Lebuh SPA, Krubong, di sini, semalam.
Lelaki berusia 61 tahun itu, dipercayai menunggang motosikal dari rumahnya di Kelemak, Alor Gajah sendirian sebelum dicekup penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kira-kira jam 8.30 pagi.
Dia ditangkap dalam operasi sempena Program My Beautiful Malaysia yang turut disertai anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah yang berada di kawasan tersebut seawal jam 5 pagi.
Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh berkata, warga emas yang menagih sejak 41 tahun lalu dan mula berjinak dengan ganja pada peringkat awal itu ditahan bersama 30 lelaki lain termasuk tiga yang memiliki dadah disyaki jenis heroin.
“Kesemua lelaki berusia 19 hingga 61 tahun ini ditahan di 'port' baru di tepi sungai, di bawah jambatan Lebuh SPA, berhampiran sarang menagih lama iaitu bekas tapak pelupusan sampah Krubong malah hanya berkedudukan kira-kira 2 kilometer dari Kampung Krubong Tengah.
“Lokasi menagih yang lebih sejuk dan redup ini dipercayai baru diwujudkan dalam tempoh kurang dua bulan selepas AADK negeri dan Melaka Tengah menyerbu lokasi lama serta membersih dan melupuskan kawasan penagihan sebanyak lima kali pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Adun Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din dan Ketua BSJN Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yap Kok Seng.
Mohamad Yusof berkata, berikutan terlalu kerap membuat serbuan termasuk kali terakhir Mei lalu, AADK percaya sarang baharu itu terpaksa dijadikan tempat menagih selain berkedudukan lebih terpencil dari jalan utama dan mempunyai tiga laluan akses ke kawasan tersebut.
“Kesemua lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis morfin termasuk tiga lelaki yang didapati memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 8.25 gram ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Sazali berkata, sokongan berterusan diberikan kepada agensi penguat kuasa bagi memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah terutama di kawasan Dun Paya Rumput dan kerjasama turut melibatkan sidang dan ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK).
“Lokasi baru yang dikesan ini walaupun agak terpencil tetapi ia berhampiran dengan kawasan kampung dan kita khuatir aktiviti penagihan ini akan melarat membabitkan jenayah lain dan mengancam penduduk berhampiran.
“Saya difahamkan, 'port' di bekas tapak pelupusan sampah sudah ‘bersih’ selepas pemeriksaan dilakukan hari ini (semalam) dan kini mereka berpindah ke tempat baru,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor