Pages

Monday, August 15, 2016

[KUANTAN] TIGA PERKARA JAGA KEBAJIKAN PESARA


Tiga perkara jaga kebajikan pesara


Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) bercadang mengusulkan tiga perkara kepada kerajaan untuk kebajikan ahlinya.

Tiga perkara yang akan diusulkan itu adalah berkaitan dengan kadar kenaikan pencen sebanyak dua peratus, memberi kuota kepada pesara untuk menjalani ibadah haji dan skim perubatan serta kesihatan.

Pengerusi Kupekmas, Datuk Omar Osman berkata, tuntutan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu persidangan bersama semua pesara di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Kita mahu nasib pesara terbela. Disebabkan itu saya berusaha untuk mendapatkan hak yang sepatutnya.

“Ini semua perlu kita lakukan sebelum berbentangnya bajet 2017 yang akan diumumkan oleh kerajaan menerusi Najib dalam beberapa bulan lagi,” katanya ketika berucap pada program perjumpaan bersama ahli dan bakal pesara Zon Timur di Dewan Perkeso, di sini, semalam.

Omar memberitahu, kerajaan perlu mengkaji kadar kenaikan pencen kepada dua peratus itu bagi memastikan pesara tidak terus terbeban kos sara hidup dan harga barang yang semakin meningkat naik.

Menurutnya, kadar dua peratus itu terlalu kecil, namun sekurang-kurangnya imbuhan pencen yang mereka terima boleh membantu walaupun tidak banyak.

Menyentuh mengenai kuota untuk ke tanah suci, Omar berkata, masih ramai pesara tidak dapat mengerjakan haji disebabkan tiada tawaran kepada mereka walaupun ada antara mereka sudah layak.

“Jadi kita minta agar kerajaan dapat memberikan ruang kepada pesara untuk turut menunaikan ibadah tersebut. Ini untuk memberi keadilan kepada semua memandangkan pada hari ini kita dapat lihat kebanyakan yang mengerjakan haji adalah orang yang muda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan bekas kakitangan awam supaya tidak melepaskan peluang menyertai Kupekmas kerana banyak manfaat akan diperoleh apabila terlibat dalam kelab ini.

Katanya, penyertaan dalam Kupekmas juga secara tidak langsung dapat mengekalkan hubungan yang harmoni antara kelab dengan kerajaan.

“Pihak kelab akan berusaha mendapatkan peruntukan dan dana daripada kerajaan untuk memberi faedah kebajikan seperti sakit kritikal, kemalangan serius yang dialami oleh ahli dan keluarga peserta.

“Selain itu, kelab ini akan memberi khidmat nasihat kepada ahli yang menghadapi masalah dengan pihak kerajaan atau pihak berkuasa lain berkaitan hal persaraan, kebajikan, kemudahan dan sebagainya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor