Pages

Tuesday, August 16, 2016

[KUANTAN] MCPF PAHANG RAI PEGAWAI KANAN POLIS 21 NEGARA


MCPF Pahang rai pegawai kanan polis dari 21 negara



Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang meraikan deligasi 39 pegawai kanan polis termasuk 21 pegawai kanan polis antarabangsa dalam Majlis Jamuan Tengahari bersama Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom di Galeri Sultan Ahmad Shah (SAS) di sini, kelmarin.

Rombongan peserta Kursus ‘ International Senior Police Officer’s Command Course’ Kali ke-42 diketuai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Shamsiah Mohd.Shariff yang dalam rangka lawatan ke Kuala Terengganu disambut Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee selaku tuan rumah.

Johny Ch’ng berkata, beliau berbesar hati atas kesudian peserta rombongan untuk singgah dan melawat Galeri SAS yang menjadi pusat aktiviti Kelab Pencegahan Jenayah MCPF Pahang.

Beliau berkata, pada masa yang sama, keberangkatan Sultanah Kalsom ke majlis itu untuk bersama-sama peserta rombongan memberi makna yang cukup besar dalam hubungan keluarga Diraja Pahang dengan masyarakat.

“Sebagai sebuah yayasan yang berperanan dalam usaha meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah, MCPF Pahang bertuah kerana peluang ini dapat digunakan sebagai platform berkongsi idea dan pengalaman ke arah matlamat itu bersama pegawai kanan polis antarabangsa.

“Pada masa yang sama, ia juga dapat memperkenalkan MCPF sebagai badan sukarela yang bertanggungjawab meningkatkan kesedaran jenayah di negara ini kepada dunia ,”katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Johny Ch’ng berkata, rombongan yang turut disertai polis antarabangsa dari 21 negara itu merupakan kumpulan kedua yang diraikan di Galeri SAS selepas rombongan Persatuan Polis Antarabangsa Macau, minggu lalu.

“Kita tahu, badan yang berperanan seperti MCPF ini ada di seluruh dunia dengan pelbagai nama justeru kita lihat peluang seperti ini cukup baik dalam mewujudkan kerjasama rentas sempadan.

“Hari ini (semalam) kita ada pegawai kanan polis dari Bosnia, Uganda, Vietnam, Zimbabwe, Fiji, Hong Kong, Jordan, Korea, Malawi, Maldives, Namibia, Nigeria, Palestin, Papua New Guinea, Singapura, Sri Langka, Swaziland, Seyohelles, Taiwan dan Tanzania selain beberapa pegawai dari Malaysia.

“Jadi, setidak-tidaknya kita dapat sampaikan gambaran tentang keaktifan MCPF ini ke mata dunia selain bertukar idea dan pengalaman,”katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama seperti itu, MCPF Pahang dapat terus ke hadapan dalam merangka pelbagai program termasuk menjalankan aktiviti di luar negera selain program dalam negara.

Sementara itu, Shamsiah berkata, kursus ‘ International Senior Police Officer’s Command Course’ Kali ke-42 melibatkan pegawai kanan polis dari 21 negara itu bertujuan mewujudkan kerjasama rangkaian pelbagai hala selain meningkatkan kemahiran kepimpinan dan memahami isu-isu global dalam bidang kepolisan.

Katanya, kursus bermula 1 hingga 20 Ogos itu disertai 17 pegawai PDRM, seorang dari Jabatan Kastam Diraja Malaysaia dan 21 pegawai dari negara yang mengambil bahagian.

“Hari ini kita bertuah apabila dijemput MCPF Pahang ke Galeri SAS ini untuk jamuan tengahari bersama Sultanah Pahang,”katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor