Kesucian Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Bangsa Melayu adalah tonggak yang mempertahankan Islam dan mereka perlu selalu diberi peringatan.
Tetapi malangnya, umat Islam dan Melayu di negara ini terlalu membuka banyak ruang sehingga pihak lain semakin berani dan berterusan mempersoalkan kesucian Islam dengan harapan nilai utama Islam itu diteliti semula mengikut logik akal mereka dan dibahaskan secara terbuka.
Kita lihat, daripada rungutan terbuka terhadap laungan azan, terdengar pula kritikan terhadap isi kandungan khutbah Jumaat dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, ada yang menganggap amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Sampai bila pihak-pihak ini terus dibiarkan dan ‘menjentik’ sensitiviti kaum dan penganut agama Islam.
Mengapa mereka perlu pertikai isi kandungan khutbah Jumaat?. Segala yang disampaikan khatib adalah untuk kepentingan umat Islam. Mengajak umat bertakwa, bersatu dan memajukan diri dan ummah dan bukan untuk menafikan hak orang lain atau untuk bermusuhan dengan pihak lain. Begitu juga mereka yang menuduh amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Dalam Islam bersedekah itu tanda bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH SWT. Ia juga sebagai ikatan mesra di antara sesama ahli keluarga, masyarakat sekitar dan sesama seagama.
Senario yang berlaku sebenarnya telah memberi isyarat yang jelas bahawa umat Islam di negara ini tiada pilihan, melainkan bersatu untuk membina kekuatan. Apabila kedudukan Islam dan syariatnya diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, golongan agamawan perlu bangkit bersuara memberi penjelasan dan mempertahankannya. Mereka tidak boleh lagi berdiam diri kerana ia seolah-olah menggambarkan apa sahaja tindakan dan kenyataan bukan Islam itu betul dan umat Islam berada di pihak yang salah.
Golongan agamawan perlu menekankan konsep tugas-tugas kemasyarakatan atau muamalah seperti menjalin kerjasama dengan semua komuniti tanpa mengira kaum dan agama, mengukuhkan persatuan dan perpaduan sesama Islam dan pelbagai aspek sosial yang lain. Ia sama pentingnya dengan ibadah lain.
Pemimpin negara ini yang diterajui oleh orang Melayu tidak boleh lagi berkompromi semata-mata untuk kelangsungan politik mereka. Tidak perlu tawar-menawar dengan orang bukan Islam dalam perkara yang berkaitan dengan kedaulatan serta memelihara kesucian agama Islam. Mereka perlu tunjukkan ketegasan dalam memelihara syariat ALLAH serta kekuatan perpaduan sesama umat Islam yang akan membuatkan agama Islam dihormati di negara ini.
Perjuangan untuk mengukuhkan kekuatan Islam bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa. Jauh sekali untuk bangkit bertelagah atau berperang dengan mana-mana pihak. Kekuatan ummah ialah untuk menggerunkan pihak-pihak yang berterusan memperlekeh dan menghina Islam.
Kita perlu mengambil pengajaran bahawa ketika pembukaan Palestin oleh Saidina Umar al-Khattab pada tahun 15H/636M, beliau pernah berikrar untuk memelihara keselamatan para rahib, pendeta serta gereja. Dalam masa sama, beliau sesekali tidak pernah tawar-menawar dalam perkara yang melibatkan aqidah umat Islam. Justeru, kewibawaan dan ketegasan beliau dalam menegakkan syariat ALLAH yang merupakan rahmat kepada sekalian alam telah menaikkan rasa hormat penganut agama lain terhadap agama Islam.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh ALLAH dan musuh kamu serta musuh-musuh orang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang ALLAH mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan ALLAH akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya" - Surah an-Anfal, ayat 60.
Syariat Islam sememangnya membawa kepada keadilan dan kesejahteraan kepada semua. Tinggal lagi, ia perlu ditegakkan oleh mereka yang benar-benar memahami akan syariat agama Islam yang sebenar-benarnya.
* Penulis, Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor