Pages

Monday, August 15, 2016

GEMAR BERPIDATO SEJAK KECIL


Gemar berpidato sejak kecil


Kuala Terengganu - Dari raut wajah yang tenang, siapa sangka, anak kelahiran Baling, Kedah, Hanis Hazirah Zakaria, 20, memiliki bakat berpidato malah kelantangan suaranya ketika berhujah memukau hadirin untuk terus memberi perhatian kepadanya ketika di pentas.

Pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Sejarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu itu berkata, latar belakang keluarga yang turut berkecimpung dalam bidang itu merupakan antara faktor pendorong kejayaannya menjuarai Pertandingan Akhir Pidato Transformasi Terengganu Baharu (TTB) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.

"Alhamdulillah, memang saya tak sangka berjaya merangkul juara bagi pertandingan ini memandangkan persaingan juga agak sengit dan saya juga melalui proses saringan melalui pertandingan yang diadakan di peringkat IPG sendiri.

"Saya bersyukur, persediaan saya selama hampir sebulan dalam pertandingan ini membuahkan hasil hari ini (semalam)," katanya yang telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016, baru-baru ini.

Katanya, penglibatan dalam pidato memang bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi dan keluarga turut memberikan sokongan yang penuh terhadap minatnya itu.

Hanis Hazirah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM4000, sijil penghargaan serta trofi kemenangan.

Tempat kedua bagi pertandingan itu pula dimenangi anak kelahiran Cukai, Kemaman, Sharvina Sara A/P Ghandi Bal, 23 yang merupakan pelajar tahun akhir dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, pidato itu adalah pertandingan julung kali diadakan melalui Unit Transformasi TTB dan terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madun).

"Program ini adalah penganjuran di peringkat kebangsaan dan merupakan pengiktirafan yang tinggi, peserta debat juga yang berkebolehan dan mereka juga mempamerkan satu tahap debat yang berkualiti dan mereka boleh diketengahkan.

"Pidato ini juga dapat beri kefahaman mendalam dan falsafah TTB itu sendiri termasuk lapan prinsip dan gagasan TTB yang mana mentransformasikan ekonomi, kerajaan dan politik di Terengganu," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor