Pages

Tuesday, July 5, 2016

SEORANG LAGI KANAK-KANAK DIJANGKITI DIFTERIA


Norhizan Ismail


Alor Setar - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari Kulim disahkan dijangkiti difteria.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kanak-kanak ini mula menghidapi gejala demam selama tiga hari sehingga 28 Jun, sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan setelah mendapat sawan.

“Status imunisasi mangsa diragui kerana tiada rekod kad kesihatan berhubung rekod imunisasi yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, kes itu dirujuk ke Hospital Kulim dan dimasukkan ke wad isolasi pada hari sama kerana disyaki difteria.

“Rawatan segera diberikan dan ujian makmal untuk pengesahan jangkitan difteria dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Keadaan mangsa menjadi kritikal pada 30 Jun tengah malam dan dirawat dengan alat bantuan pernafasan sehingga dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi,” katanya.

Norhizan berkata, kanak-kanak ini masih lagi kritikal dan ujian makmal mengesahkan ianya jangkitan difteria.

“Notifikasi terbaru kes difteria dari Kulim ini menjadikan jumlah kes difteria di Kedah berjumlah 10 kes, iaitu satu kes di Langkawi dan lapan dari daerah Kuala Muda dari sebuah keluarga,” katanya.

Menurutnya, daripada 10 kes difteria yang dinotifikasi, tujuh kes disahkan sebagai difteria dengan satu kematian, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun dari Kuala Muda.

Manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berumur 10 bulan (adik kepada kanak-kanak yang meninggal dunia) masih dirawat di ICU Hospital Sultanah Bahiyah dan masih kritikal.

“Untuk kes terbaru dari Kulim ini, tindakan kawalan telah dijalankan ke atas keluarga pesakit dan pra sekolah bagi mengesan kontak pesakit,” katanya.

Menurutnya, sembilan kontak dikenalpasti di rumah mangsa, iaitu enam dewasa, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun (OKU) iaitu abang pesakit di mana status imunisasi tidak diketahui serta dua kanak-kanak lain iaitu sepupu pesakit mempunyai sejarah imunisasi lengkap.

“Semua kontak rapat di rumah adalah sihat dan tiada gejala demam dan sakit tekak. Kontak di Pra Sekolah yang dikesan seramai 19 orang kesemuanya lengkap imunisasi, di mana enam pelajar mengalami sakit tekak tetapi tiada simptom demam,” katanya.

Norhizan berkata, mereka dinasihatkan untuk mendapat rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

“Kita turut meninjau 124 buah kediaman di kawasan rumah mangsa, dan memeriksa seramai 249 kanak-kanak iaitu 74 kanak-kanak bawah tujuh tahun dan 175 kanak-kanak berusia 7 hingga 10 tahun,” katanya.

Daripada jumlah itu, 10 orang yang tidak mendapat imunisasi telah diberikan suntikan imunisasi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor