Pages

Wednesday, June 15, 2016

‘TINDAKAN AMAT MENGHAIRANKAN'


Zainal Abidin Osman


Georgetown - Cadangan untuk menukarkan projek terowong dasar laut kepada jambatan ketiga yang diumumkan kerajaan negeri dilihat amat menghairankan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, ini kerana sebelum ini, kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran dan keperluan pembinaan laluan alternatif itu.

Menurutnya, banyak persoalan timbul apabila kerajaan negeri dilihat seperti terdesak untuk membina jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut itu.

“Amat menghairankan secara tiba-tiba Ketua Menteri Pulau Pinang mencadangkan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Bagan Ajam dan Persiaran Gurney setelah beliau dengan bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran pembinaan terowong bawah dasar laut bagi jajaran yang sama, dengan alasan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bahagian pulau. Persoalannya, mengapa kini Guan Eng dan kerajaan negeri tiba-tiba seperti berubah hati?

“Adakah ia disebabkan Kajian Kebolehlaksanaan yang siap 83 peratus itu menunjukkan pembinaan terowong dasar laut tidak wajar dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri digesa supaya menjelaskan sama ada mereka perlu membayar ganti rugi atau pampasan kepada Konsortium Zenith-BUCG atau lain-lain syarikat pembinaan yang telah menandatangani perjanjian sekiranya cadangan pembinaan terowong bawah dasar laut itu dibatalkan,” katanya menerusi kenyataannya kelmarin.

Zainal Abidin berkata, pihaknya turut mendesak kerajaan negeri menjelaskan kedudukan tanah seluas 44.5 hektar yang diperuntukkan sebagai bayaran kepada Konsortium Zenith-BUCG dalam pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya utama sekiranya projek pembinaan terowong dibatalkan.

“Apakah tanah tebus guna laut di Seri Tanjung Pinang Fasa Kedua (STP2) dan pesisir Persiaran Gurney yang sama akan digunakan sebagai pembayaran untuk pembinaan jambatan ketiga? Selain itu, adakah Konsortium Zenith-BUCG akan diberikan kontrak pembinaan jambatan ketiga sebagai pampasan pembatalan kontrak membina terowong dasar laut sekiranya cadangan tersebut mendapat persetujuan?

“Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang menggesa supaya semua persoalan yang dibangkitkan ini dan juga soalan-soalan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai isu sama dijawab secara jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai berkata, kesemua dakwaan Zainal Abidin terhadap cadangan pembinaan terowong dasar laut dan jambatan ketiga tidak berasas.

Menurutnya, tindakan menggantikan terowong dasar laut dengan jambatan ketiga tidak akan mengakibatkan kos ganti rugi kerana ia mampu dibina kontraktor yang sama.

“Dakwaannya mengatakan bahawa terowong tidak sesuai dibina di kawasan itu setelah 83 peratus kajian kebolehlaksanaan siap tidak benar. Dakwaan kononnya kerajaan negeri perlu bayar pampasan atau ganti rugi jika projek terowong dasar laut tidak dapat kebenaran Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) dari Jabaran Alam Sekitar (JAS) juga tidak benar. 

“Sebenarnya ia tertakluk kepada kelulusan DEIA dan kontraktor akan menanggung risiko semua kos jika DEIA tidak diperolehi,” katanya menerusi kenyataan medianya semalam.

Beliau berkata, jika tidak bina terowong, kontraktor sama mampu membina jambatan. 

“Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan kerajaan negeri mampu membina jambatan ketiga tanpa tol kerana penjimatan kos dari membina jambatan berbanding terowong dasar laut. Ia dapat dilaksanakan jika Kerajaan Persekutuan memberi kelulusan kepada kerajaan negeri untuk membinanya,” katanya.

“Kajian terperinci membina jambatan ketiga memakan perbelanjaan ratusan juta dan siapa akan menanggung kos jika Kerajaan Persekutuan enggan meluluskannya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor