Nilai - Diugut akan dicederakan jika mahu membatalkan perjanjian sewa premis yang dibuat sebelum ini.
Itu ancaman yang diterima oleh segelintir pemilik kedai yang berdepan dengan penyewa ‘ala samseng’ yang menjadikan premis disewa sebagai pusat perjudian.
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Syamsul Amri Ismail berkata, perkara itu didedahkan oleh pemilik premis yang mengaku berdepan masalah apabila mahu membatalkan perjanjian sewa.
“Dalam surat perjanjian yang dibuat dengan pemilik, penyewa memberitahu mahu menjalankan perniagaan lain seperti kedai telefon atau komputer tapi sebaliknya membuka pusat judi.
“Saya boleh katakan ada yang memang betul-betul tak tahu, tapi ada juga yang tahu. Nampaknya mereka berani bertindak agresif mengugut pemilik semata-mata mahu terus beroperasi yang saya syak ia didalangi oleh kumpulan kongsi gelap,” katanya.
Menurutnya, ternyata tindakan MPN menghantar notis peringatan kepada pemilik premis sejak April lalu memberi kesan positif untuk mereka lebih bertanggungjawab terhadap premis yang disewa.
Oleh sebab itu, beliau menasihatkan kepada pemilik premis supaya mengenal pasti jenis perniagaan yang ingin dijalankan oleh penyewa terlebih dahulu atau boleh merujuk kepada pihak MPN.
“Setakat ini sudah lebih 20 notis dikeluarkan dan nampaknya mereka memberi respons dengan berhubung dengan kita memaklumkan masalah dihadapi.
“Saya nasihatkan jika pemilik premis berhadapan ugutan seperti ini maklumkan kepada polis demi keselamatan,” katanya.
Sementara itu dalam Op Judi Siber di sebuah premis di Bandar Baru Nilai dekat sini semalam, bermula jam 11 malam sehingga 3 pagi itu, sebanyak enam mesin judi dirampas.
Menurutnya, dalam serbuan membabitkan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu, turut ditahan dua penjaga premis warga Indonesia berusia 20-an untuk tindakan lanjut.
“Ketika serbuan terdapat 20 pelanggan berusia 20 sehingga 50-an di premis terbabit namun tiada tangkapan dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor