Pages

Tuesday, June 7, 2016

PELAJAR SEKOLAH KAMPUNG BUKTIKAN POTENSI DIRI


Pelajar sekolah kampung buktikan potensi diri


Jeram - Mahu buktikan kemampuan diri meskipun dilabel anak bongsu, Afdhal Zofran Mohd Amin, 19, bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah berjaya melanjutkan pelajaran bertaraf A-Level di sebuah kolej ternama.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Islam (SMI) dan Maahad Tahfiz al-Quran (MTQ) Hira’ Jeram itu, mahu membuktikan potensi diri kepada keluarga terutama kepada bapanya.

“Saya mahu buktikan kepada ayah yang saya mampu berjaya macam 10 beradik lain sebab ayah ni jenis susah nak percaya. Mungkin nampak saya banyak main dan tak serius dalam pelajaran.

“Tapi, berkat belajar dengan kawan dan jadi ‘cikgu’ masa ulang kaji, saya berjaya dapat keputusan cemerlang 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menerima biasiswa pendidikan Johor Corporation (JCorp).

“Sekarang ni saya dalam persediaan dua tahun di Kolej Yayasan Saad International School (KYSIS) untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan sama ada di United Kingdom atau Australia,” katanya.

Afdhal Zofran berkata, tiada rahsia untuk cemerlang dalam pelajaran kerana ia bergantung kepada individu. 

Baginya, motivasi diri penting untuk berubah selain fokus dalam pelajaran.

“Bukan mudah nak dapat tajaan pendidikan seperti ini sebab kami dari sekolah kampung. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pelajar SMI MTQ Hira’ setanding pelajar sekolah terkemuka.

“Terima kasih kepada pihak sekolah dan saya tak mungkin dapat lupakan sekolah yang saya sayangi ini. Walaupun menghadapi kekangan prasarana tapi kami mampu berjaya,” katanya ketika berkunjung ke sekolah itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor