
Kuala Lumpur - Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.
Sementara Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal digantung dari jawatannya.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.
"MT Umno sebulat suara mengambil keputusan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana pelanggaran disiplin.
"Ini kerana mereka telah berada di atas pentas bersama pembangkang menyerang pimpinan dan parti. Ini merupakan kesalahan besar disiplin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.
Ia disusuli dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno yang digantung bermula 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.
Mukhriz pula melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari lalu dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor