Hutan Melintang - Mayat seorang lelaki dipercayai warganegara Myanmar ditemui terapung di Sungai Bernam berhampiran pelantar ikan Hup Soon Sheng Fishery, di sini, jam 12 tengah hari kelmarin.
Mangsa, Kyaw Moe, 34, yang bekerja sebagai nelayan ditemui orang awam yang kemudiannya bertindak menghubungi Balai Polis Hutan Melintang pada jam 9.55 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa mayat berkenaan terapung di dalam sungai di tepi pelantar.
“Siasatan awal mendapati satu mayat terapung di permukaan air dalam keadaan terlangkup.
“Mayat itu berada bersebelahan pelantar ikan Hup Soon Sheng Fishery, lebih kurang lima meter dari tebing Sungai Bernam,” katanya.
Yahaya berkata, dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, mayat berkenaan berjaya dibawa ke tebing.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati mangsa hanya memakai kain sarung warna gelap tanpa baju dan tiada sebarang kecederaan dikesan serta tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
“Setakat ini tiada saksi yang tampil memberi maklumat, namun mengikut seorang wanita warga Myanmar dikenali sebagai Mariam berkata mangsa dikenali sebagai Kyaw Moe berusia 34 tahun dan bekerja sebagai nelayan,” katanya.
Tambahnya, wanita berkenaan juga memaklumkan mangsa masih bujang dan baru tiga bulan tiba di Hutan Melintang.
“Mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor