Pages

Monday, June 20, 2016

LEWAT TETAPI BERBALOI


Lewat tetapi berbaloi


Tumpat – “Setahun penantian makcik, akhirnya rumah ini siap dibina,” kata seorang warga emas, Rahimah Ismail, 62, yang menerima rumah kekal mangsa banjir daripada Projek Shelter Tesco Malaysia.

Rahimah berkata, kejadian banjir besar 2014 menyebabkan rumahnya yang dibina di Kampung Laut, rosak dan hanya menanti masa untuk roboh kerana terlalu usang.

Menurutnya, dia amat gembira apabila rumah baharu itu menjadi milik kekalnya yang akan didiami sembilan beranak termasuk seorang anak tiri, Mohd Adnan Ismail, 52, yang juga OKU.

“Rumah lama bocor sana sini, bumbung pula tercabut ketika banjir besar yang lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur atas pemberian rumah itu walaupun menerimanya agak lewat, tetapi cukup selesa untuk dia sekeluarga.

“Lebih bermakna, rumah ini saya terima menjelang Aidilfitri. Anak-anak yang berada jauh, boleh pulang beraya dalam keadaan selesa,” katanya yang mempunyai 11 anak.

Dia berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Terakhir, Rumah Projek Shelter Tesco Malaysia di Taman Firdaus Kampung Belian yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia Paul Ritchie serta Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Datuk Azlam Shah Alias.

Sementara itu, Azlam Shah berkata, Tesco Malaysia membina lapan rumah untuk mangsa banjir di daerah ini secara berperingkat sejak 2015.

“Empat daripadanya sudah diserahkan tahun lalu dan empat yang terakhir diserahkan pada majlis ini. Pada awalnya, kami jangka semua rumah siap tahun lalu, namun beberapa masalah dihadapi termasuk kos pembinaan meningkat daripada RM55,000 kepada RM60,000, menjadikan projek ini tertangguh.

“Kos perbelanjaan keseluruhan pembinaan bagi lapan rumah mencecah lebih RM700,000. Ia adalah perbelanjaan yang sangat berbaloi. Secara peribadi, saya bersyukur kerana projek rumah ini menjadi kenyataan,” katanya.

Azlam berkata, rumah itu berkeluasan 740 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur, selain perkakasan rumah seperti televisyen, katil, kerusi, meja serta peti sejuk.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor