Pages

Friday, June 17, 2016

LELAKI AKTIF SAMUN DITEMBAK MATI


samun


Johor Bahru - Polis menembak mati seorang lelaki warga asing di persimpangan Jalan Ulu Choh-Pontian di sini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kejadian berlaku pada pukul 1.45 tengah hari ketika sepasukan polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu, terserempak dengan kenderaan suspek yang dinaiki bersama dua rakannya dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, apabila diarahkan berhenti, kenderaan itu tidak berbuat sedemikian sebaliknya cuba merempuh anggota polis yang ingin menahannya.

Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit bagi memberhentikannya namun malangnya, tembakan itu mengenai suspek lalu menyebabkan kenderaan dipandu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

"Hasil pemeriksaan kemudian, polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai identiti dan dianggarkan berusia 27 tahun, manakala dua rakannya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

"Di dalam kereta, polis turut menemui dua bilah parang dan sepucuk pistol tiruan manakala pada si mati (suspek) dijumpai beberapa telefon bimbit dan wang tunai RM1,400," kata Wan Ahmad Najmuddin dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata hasil semakan ke atas kenderaan yang digunakan suspek turut mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di bandar raya ini pada Mac.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, polis kini giat mengenal pasti dan memburu dua lagi rakan suspek dengan mengaktifkan Ops Tutup dan Ops Kesan di seluruh negeri.

Beliau berkata, kumpulan ini menyasarkan mangsa yang mengeluarkan wang tunai daripada bank dan akan bertindak menyamun mangsa menggunakan parang atau memecahkan cermin kenderaan bagi mengambil wang yang ditinggalkan mangsa dalam kenderaan.

Polis percaya kumpulan ini turut melakukan sebanyak 17 kes samun di Johor pada tahun ini hingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM600,000.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor