Pages

Friday, June 17, 2016

KUOTA TAMBAHAN HAJI 5,000 HINGGA 10,000 RASIONAL


Jamil Khir Baharom


GURUN - Kuota tambahan antara 5,000 dan 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini disifatkan sebagai jumlah yang rasional untuk dikendalikan, sekiranya permohonan Malaysia mendapatkan tambahan kuota itu diluluskan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah itu adalah rasional berikutan terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira antaranya dari segi penerbangan, pengangkutan, penginapan dan penyediaan makanan kepada jemaah haji.

"Kuota tambahan ini akan dapat membantu meramaikan lagi jemaah haji Malaysia bagi mengurangkan jumlah menunggu yang masih begitu tinggi, dan kita meletakkan sasaran antara 5,000 hingga 10,000, yang mana jumlah itu agak rasional untuk kita menguruskannya.

"Sebab di penghujung nanti kami akan berdepan masalah penerbangan, jika dapat menyewa kapal terbang, akan ada pula masalah 'landing right', hak pendaratan di Jeddah dan Madinah, selain aspek penginapan dan makanan untuk jemaah haji kerana tempahan pasa saat-saat akhir akan meningkatkan kos," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada pemimpin masyarakat daerah Kuala Muda/Yan di Masjid Taman Seri Jerai, di sini, malam tadi. 

Jamil Khir yang juga Anggota Parlimen Jerai, berkata kuota sedia ada yang diberikan kepada negara adalah sebanyak 22,320 dan Malaysia masih lagi menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan bagi musim haji tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penambahbaikan kemudahan di Makkah dan Madinah, Jamil Khir berkata kemudahan yang disediakan kini memberikan lebih keselesaan kepada jemaah haji yang menunaikan ibadah di sana.

"Penambahbaikan di sana, saban tahun mereka adakan, cuma tahun ini peningkatan jumlah pengangkutan dari Makkah ke Arafah, Arafah ke Mudzalifah dan ke Mina, dan Mina balik ke Makkah, menggunakan sistem aliran kereta api yang diselia syarikat dari Malaysia.

"Bilangan jemaah yang bermalam di kaki lima juga semakin mengecil dan saya yakin hal seperti ini menampakkan sistem dan kecekapan pengurusan yang akhirnya memberikan keselesaan kepada jemaah haji, bahkan walaupun ada penambahbaikan yang masih sedang dijalankan, ia akan memberikan lebih banyak keselesaan berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Terdahulu, seramai 2,000 pemimpin masyarakat termasuk guru al-Quran, mudim dan penggali kubur sekitar daerah Kuala Muda dan Yan, menerima sumbangan RM200 sebagai menghargai jasa mereka.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim mewakili Menteri Besar Kedah; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Siam dan India, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor