Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM80,000 kepada 52 masjid dan 171 surau di sekitar daerah ini bagi menyemarakkan pelbagai program keagamaan sepanjang bulan puasa.
Yang Dipertuanya, Datuk Fadzilla Salleh berkata, sumbangan itu merupakan kesinambungan program MPK bersama masyarakat sebagai tanda hubungan baik kedua-dua pihak.
Menurutnya, hubungan PBT tidak hanya tertakluk kepada pentadbiran semata-mata, malah menjurus ke arah aktiviti kemasyarakatan terutamanya mengimarahkan masjid.
“PBT bertanggungjawab mengutip cukai, bagaimanapun hasil cukai tersebut ‘dipulangkan’ semula kepada rakyat menerusi program-program seumpama ini.
“Secara tak langsung, masyarakat tahu aliran cukai yang dibayar adalah untuk memudahkan urusan mereka seharian juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan MPK kepada wakil masjid dan surau sekitar daerah ini.
Beliau berkata, MPK turut mengadakan program berbuka puasa di empat masjid terpilih iaitu Masjid Tanjung Api, PPD Soi, Kota Sas dan juga Masjid Bukit Rangin.
Beliau turut mengingatkan agar kebersihan masjid dan surau dijaga rapi lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Pahang 2017 yang menjadikan setiap pelosok negeri ini tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.
Bagi Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan, Dakwah, Penerbitan dan Perhubungan Awam Masjid Al Hidayah, Alor Akar, Shahrul Zailan Mohd Zamri berkata, sumbangan yang diberikan oleh MPK ini dapat memperkasa pelbagai program yang dirancang oleh pihak masjid sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, pemberian sumbangan ini membolehkan pihak kami mengadakan pelbagai program seperti ceramah, kelas mengaji dan tajwid dengan membawa tenaga pengajar dari luar.
“Sekurang-kurangnya jemaah nanti berpeluang dengar ceramah pendakwah luar yang dikenali,” katanya.
Sementara itu, bagi imam Masjid Pantai Sepat, Sharudin Abdullah berkata, sumbangan yang diberikan tersebut membolehkan pihak masjid mengadakan majlis berbuka puasa, kuliah dan tadarus sepanjang Ramadan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor