Pasangan kembar lelaki bersama bayi berusia tujuh bulan antara 15 yang ditahan dalam satu operasi cegah yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang di sekitar daerah ini, pagi semalam.
Ketua Pegawai AADK Kuantan, Norhaffiza Ibrahim berkata, daripada jumlah itu hanya sembilan individu yang ditahan didapati positif dadah pelbagai jenis, berusia antara 37 hingga 51 tahun.
Menurutnya, pasangan kembar itu ditemui sewaktu menjalankan serbuan di sebuah rumah di Jalan Wong Ah Jang di sini, awal pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan itu, kita dapati pasangan kembar itu didapati positif dadah jenis methamphetamine. Malah, kita juga mendapati seorang bayi perempuan berusia 7 bulan bersamanya dan mendakwa isterinya telah melarikan diri sejak dua hari lalu.
“Kita telah beberapa kali meminta nombor telefon keluarga untuk dihubungi, namun pasangan kembar itu memaklumkan mereka tidak mengingati nombor telefon isteri mahupun keluarganya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Norhaffiza berkata, pihaknya sedang mencari waris keluarga bayi itu dan jika gagal akan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Operasi cegah untuk perangi dadah habis-habisan 2016 ini diadakan jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi membabitkan sembilan pegawai AADK dan seorang pasukan Rela dengan melakukan pemeriksaan dan serbuan di sekitar Kuantan.
Tambahnya, siasatan ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah methampetamin akan diserahkan kepada polis untuk siasatan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, lima lagi individu yang ditahan didapati positif dadah opiat di bawah Seksyen 8 (3) (a) Akta Penagih Dadah 1983.
“Mereka ini akan dihantar ke pusat pemulihan di Jerantut,” katanya.
Melihat penangkapan semalam, beliau yakin bahawa kesemua yang ditangkap merupakan penagih lama yang berulang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor