Pages

Tuesday, June 7, 2016

[KUANTAN] HARAP MASA DEPAN PENYU TERBELA


Harap masa depan penyu terbela


Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) di Cherating menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi menjayakan program kajian dan penetasan penyu di pusat berkenaan.

Pengerusinya YBR, Datuk Abdul Rahman Kasim berkata, sumbangan itu sekurang-kurangnya membantu program yang dirancang PPKP untuk memastikan masa depan penyu di negara ini terus terbela dan tidak pupus.

Menurutnya, tanpa usaha Jabatan Perikanan Pahang yang bertanggungjawab menguruskan PPKP Cherating, jumlah penyu di beberapa kawasan di negeri ini pastinya akan terus berkurangan dan tidak mustahil akan pupus jika tiada usaha pembiakan dilakukan.

“Saya harap sedikit bantuan diberikan YBR dapat membantu PPKP Cherating menjayakan lagi program serta aktiviti menghasilkan lebih banyak anak penyu untuk dilepaskan ke laut dengan harapan dapat terus membesar.

“Usaha membantu PPKP Cherating akan diteruskan dan bantuan sama turut diberikan kepada Jabatan Perikanan Terengganu bagi menjayakan program konservasi penyu yang menjadi mercu tanda negeri pantai timur itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika cek YBR kepada Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain sempena program Kembara Muda Rakyat 2016 PPKP Cherating di sini, kelmarin.

Abdul Rahman berkata, pada program kembara muda rakyat 2016 kali ini peserta terdiri daripada pelajar berumur 12 hingga 15 tahun yang bersekolah di Putra Jaya dan Kuala Lumpur dibawa melawat ke pantai timur selama lima hari.

“Di Pahang mereka melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, kemudian ke PPKP Cherating seterusnya ke Terengganu melihat pelbagai aktiviti termasuk merasai makanan tempatan,” katanya. 

Sementara itu Adnan berkata, pada tahun lalu PPKP Cherating berjaya mencatat pendaratan sebanyak 262 ekor penyu dengan menghasilkan sebanyak 24,204 telur, daripada jumlah itu sebanyak 15,335 telur berjaya ditetaskan.

“Dalam tempoh lima bulan tahun ini sebanyak 139 penyu jenis agar mendarat di pantai Cherating bertambah berbanding dalam tempoh sama tahun lalu dan jumlah dijangka terus bertambah hingga akhir tahun ini,” katanya.

Pada program itu sebanyak 300 anak penyu jenis agar berusia dua hingga lima hari yang berjaya ditetaskan di PPKP Cherating dilepaskan ke laut oleh 120 peserta kembara.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor