Alor Setar - Kerajaan negeri akan mengkaji semula peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah berikutan terdapat aduan ada pengusaha pusat hiburan yang kerugian akibat diarah untuk menutup operasi mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, ia telah dibincangkan di dalam mesyuarat exco sebelum ini namun kajian secara terperinci perlu dilaksanakan selain perlu mendapat perkenan daripada Jemaah Pemangku Sultan Kedah terlebih dahulu.
"Setakat ini, tiada perubahan dan kita akan gunakan undang-undang sedia ada di mana kelonggaran diberikan kepada pengusaha pusat hiburan untuk beroperasi lima hari dan perlu ditutup pada Khamis dan Jumaat. Selain itu, mereka juga perlu memastikan pengunjung beragama Islam tidak dibenarkan memasuki premis sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada 9 Jun lalu, Pengerusi Gerakan Kedah Datuk Dr Cheah Soon Hai meminta kerajaan negeri mengkaji semula tindakan yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan berikutan tindakan itu menyebabkan lebih 200 pengusaha pusat hiburan di negeri ini menanggung kerugian.
Peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah adalah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997 dan mula dikuatkuasakan pada 2009.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor