Pages

Thursday, June 2, 2016

KAJIAN HAMBA MODEN TIDAK SAHIH


hamba


Subang Jaya - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan kesahihan data Indeks Perhambaan Global 2016 yang diterbitkan The Walk Free Foundation yang mendakwa kira-kira 129,000 individu menjadi mangsa perhambaan moden di Malaysia.

Menurut beliau, sekiranya benar dakwaan organisasi berkenaan pastinya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menerima aduan dan laporan berkenaan perhambaan moden yang wujud di negara ini.

“Macam mana organisasi yang dikatakan Think Tank seperti itu boleh membuat kenyataan sebegitu? Dari mana mereka dapat jumlah itu, apakah teknik kiraan yang digunakan untuk mengenal pasti kononnya hamba moden berkenaan?

“Tiada sebarang kenyataan saintifik dikemukakan dalam laporan kajian yang diterbitkan oleh The Walk Free Foundation berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Forum Impak Pentadbiran Global dalam Hubungan Antarabangsa di Subang Jaya, semalam.

Forum turut dihadiri bekas Presiden Mexico, Ernesto Zedillo.

Sementara itu, Nur Jazlan menegaskan keengganan majikan untuk mendaftarkan pekerja-pekerja asing yang bekerja dengan mereka menerusi program pengambilan semula pekerja asing tanpa izin adalah halangan utama kepada pelaksanaan program tersebut.

Beliau berkata, majikan dari industri kecil dan sederhana (IKS) terutamanya enggan melakukan perkara tersebut kerana tidak mahu menanggung kos yang tinggi.

“Mereka enggan menggunakan pekerja asing yang ada permit kerana perlu berbelanja besar sebaliknya lebih gemar menggunakan khidmat agen selaku orang tengah.

“Ini masalahnya sekarang sebab itu buat masa ini pengambilan pekerja baharu tidak akan dibuka semula sehingga sikap majikan IKS berubah dan mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka barulah kita semak semula polisi pengambilan pekerja baharu,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak mahu berlaku lambakan pekerja asing yang tidak dijaga kebajikannya oleh itu, polisi pengambilan pekerja asing baharu terpaksa dibekukan buat masa ini.

“Kita tunggu sampai 30 Jun, tapi sehingga kini majikan tidak beri sambutan menggalakkan untuk mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka yang masih berada di sini.

“Saya tak tahu kenapa mereka masih berdegil untuk mendaftarkan pekerja asing tanpa izin.

"Adakah mereka bertujuan untuk menggagalkan program ini?" soalnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor