Seorang warga emas sanggup hidup bertemankan bau busuk tahi ayam semata-mata tidak mahu berasa sunyi apabila menjadikan lima ekor ayamnya sebagai peneman hidup.
Bagaimanapun ketika kunjungan Sinar Harian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Sukarelawan JKM ke rumahnya yang terletak di Kampung Baharu di sini, kelmarin, ayam peliharaannya tidak pula kelihatan.
Sinar Harian difahamkan, sebelum ini ada pihak yang telah mengambil tindakan bergotong-royong membersihkan rumah warga emas itu namun kini rumahnya kembali dipenuhi tahi ayam.
Rokiah Akob, 80, berkata, dia tinggal bersendirian di rumahnya itu, dengan perbelanjaan harian bergantung wang bantuan yang diterima daripada JKM sebanyak RM300 sebulan.
"Macam ni lah hidup makcik, makcik dah tiada siapa. Makcik bela ayam, hilang sikit rasa sunyi. Makan pun makcik kongsi dengan ayam-ayam peliharaan," katanya ketika menerima kunjungan di bawah Program Masih Ada Yang Sayang...JKM Cakna Sokmo.
Melalui program yang disertai agensi-agensi lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pejabat Agama Islam Daerah, dan Pejabat Kesihatan Daerah itu, Rokiah turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian, sekotak buah kurma dan wang tunai.
Program berkenaan turut menumpukan beberapa rumah penduduk di sekitar kawasan Ulu Cheka dan Damak.
Selain Rokiah, turut menerima sumbangan ialah seorang ibu tunggal, Nafisah Che Seman, 38, yang menyara enam anak bersendirian yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 22 tahun dengan pendapatan hasil menoreh getah.
Nafisah difahamkan menerima bantuan kanak-kanak JKM sebanyak RM400.
Program selama dua hari yang bermula kelmarin hingga semalam itu turut berkunjung ke rumah-rumah golongan kurang berkemampuan lain di sekitar kawasan Bandar Jerantut, Felda Kota Gelanggi dan Felda Sungai Tekam selain turut ke Felda Padang Piol dan perkampungan sekitar kawasan Tembeling Tengah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor