Pages

Wednesday, June 8, 2016

[JERANTUT] KPDNKK EDAR NOTIS PERINGATAN

KPPDNK edar notis peringatan


Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jerantut mengedarkan notis peringatan kepada semua peniaga bazar Ramadan di daerah ini bermula kelmarin.

Ketua KPDNKK Cawangan Jerantut, Mohd Faizul Salleh berkata, notis itu sebagai peringatan supaya peniaga mematuhi peraturan ditetapkan seperti meletakkan tanda harga ke atas semua jenis barang jualan selain menggunakan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan.

"Peniaga yang didapati melanggar arahan itu akan didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Jika disabit kesalahan bagi orang perseorangan, denda tidak kurang RM5,000 sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan, denda tidak kurang RM5,000 sehingga RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Harga Patut kepada lima peniaga daerah ini membabitkan kategori kedai pakaian (Kedai Pakaian Sheng Ee); kedai makan (Mum’s Cafe); gerai makan (Gerai Makan Abdullah Hashim); pasar mini (Mini Market Sungai Jan) dan pasar raya (TF Value Mart).

Menurut Mohd Faizul, amaran tidak lagi dikeluarkan selepas notis diberikan, sebaliknya peniaga akan terus dikenakan kompaun maksimum 50 peratus daripada jumlah denda sekiranya didapati masih gagal melaksanakan peraturan.

“Kita bukan sahaja telah memberikan notis lisan, malah turut mengeluarkan notis bertulis.

"Notis ini dianggap amaran untuk peniaga, justeru tidak ada alasan untuk mereka tidak mematuhinya,” katanya.

Mengulas isu harga ayam mahal, beliau berkata, setakat ini dipastikan bahawa harga ayam di Jerantut masih lagi berpatutan dan mematuhi harga ditetapkan.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang aduan harga ayam semakin mahal pada Ramadan kali ini.

“Malah, melalui pemeriksaan yang dilakukan mendapati peniaga masih menjual ayam pada harga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, pemilik Mum’s Cafe, Hayati Yahya, 50, dan rakan kongsinya, Nuha Mohd Hassan, 49, mereka bersyukur menerima anugerah terbabit.

Hayati berkata, mereka membuka kedai makan terbabit sejak lapan tahun lalu dan sehingga kini masih mengekalkan harga berpatutan.

“Walaupun harga barangan naik, kami tidak menaikkan harga makanan secara mendadak, sebaliknya ia cuma dinaikkan sedikit bersesuaian dengan harga barangan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor