Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan perlu membawa isu penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah ke Kabinet untuk tindakan segera kerana ia dilihat semakin serius.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu tersebut bukan masalah baharu dan ia memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa dan masyarakat.
"Isu ini perlu dinoktahkan. Generasi muda khasnya pelajar dikenal pasti sebagai kumpulan sasar sindiket-sindiket dadah termasuk sebagai runner (jual dadah) selain mempengaruhi mereka menjadi keldai dadah dan sebagainya.
"Jadi saya rasa ia wujud telah lama namun berterusan sehingga hari ini. Saya cadangkan Menteri berkaitan bawa perkara ini ke Kabinet untuk ditangani secara mendalam dan mendapat perhatian lebih serius," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai masalah dadah di kalangan pelajar sekolah yang kini berada pada tahap amat membimbangkan.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan kini memberikan lebih tumpuan kepada sekolah kategori C dalam usaha memastikan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar dapat dibanteras.
Sekolah kategori A merupakan sekolah yang mempunyai rekod disiplin yang baik, kategori B pula merujuk kepada sekolah yang mempunyai sedikit kes disiplin manakala kategori C adalah sekolah yang mempunyai banyak kes disiplin melibatkan ponteng dan penyalahgunaan dadah.
Lam Thye juga berkata peranan pihak berkuasa khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperluas dan dipertingkat termasuk ke sekolah bagi mengenal pasti dalang utama penyalahgunaan dadah.
Beliau juga meminta pihak sekolah tampil berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa jika terdapat pelajar yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah.
Katanya jika sekolah sendiri gagal berkongsi maklumat atau mengambil tindakan sewajarnya, pelajar yang terlibat dalam gelaja dadah tidak dapat diselamatkan kerana mereka tidak mempunyai ketahanan diri yang tinggi, lemah dan tidak tahu jalan keluar untuk permasalahan tersebut.
"Ada pelajar bermula dengan merokok, kemudian berjinak-jinak dengan dadah sama ada rela, paksa, suka-suka atau terpengaruh dengan tawaran dan imbuhan. Kemudian menyertai sindiket atau kongsi gelap. Semuanya bermula di sekolah.
"Kalau disiplin tidak dapat diperketatkan dalam hal membanteras dadah di sekolah, ia akan menjadi masalah besar di luar sekolah hingga ke institusi keluarga dan masyarakat dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berpendapat antara punca pelajar terlibat dengan dadah ialah institusi kekeluargaan yang porak-peranda, pengaruh rakan sekeliling, lambakan bahan dadah, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak ambil peduli.
"Di peringkat sekolah, perlu ada pakar dalam bidang pemulihan kes dadah yang bertindak sebagai kaunselor bagi membantu memulihkan pelajar yang terlibat dalam dadah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor