BN menang PRK Kuala Kangsar
Anak Ahli Parlimen Kuala Kangsar mengangkat tangan apabila mengetahui keputusan PRK Kuala Kangsar. - Foto Sharifudin Abdul
KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu selepas menewaskan tiga pencabar lain.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar sebentar tadi.
Datin Mastura Mohd Yazid berjaya mempertahankan kerusi setelah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969 undi.
Mastura, 55, yang juga isteri kepada penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad memperolehi 12,653 undi menewaskan calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria kira-kira jam 10 malam sebentar tadi di Dewan Jubli Perak, membolehkan hasrat Mastura untuk meneruskan kepimpinan Allahyarham kepada rakyat di kawasan itu, terlaksana.
Mastura merupakan seorang graduan undang-undang universiti terkemuka perundangan, Lincoln's Inn di United Kingdom dan pernah bertugas sebagai peguam selama enam tahun.
Ibu kepada empat anak itu juga bergiat dalam dunia politik dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga termasuk menjadi peneman setia arwah suaminya dalam menjalankan tugas wakil rakyat di Kuala Kangsar.
Dengan majoriti undi lebih 6,000, Mastura yang berdepan kekangan tidak dapat turun berkempen kerana masih dalam tempoh idah, berjaya melebarkan jurang majoriti undi lebih besar berbanding yang diperolehi parti itu dalam PRU13 lalu.
Keputusan itu juga membuktikan pertaruhan BN berjaya, dengan meletakkan kembali calon wanita di kerusi tradisi ditandingi Wanita Umno Perak bermula era Yong Fatimah diikuti Datuk Seri Rafidah Aziz.
Semua pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang, jumlah peratusan yang mengeluar mengundi adalah 71.4 peratus, daripada jumlah itu sebanyak 239 undi telah ditolak.
Mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas, seramai 32,949 orang layak mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar meliputi 32,632 pengundi biasa, pengundi awal (312) dan pengundi tidak hadir (5).
Daripada jumlah itu, seramai 15,334 pengundi biasa dan 292 pengundi awal adalah dari kawasan Dun Bukit Chandan sementara 17,298 pengundi biasa dan 20 (undi awal) dari kawasan Dun Manong.
Sebanyak 25 pusat daerah mengundi telah disediakan dengan 71 saluran melibatkan 19 bangunan sekolah, masing-masing dua dewan orang ramai, sekolah agama rakyat dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 5 Jun lepas dan seterusnya pembuangan undi hari ini.
Pada PRU13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.
Berikut keputusan penuh PRK Parlimen Kuala Kangsar:
P067: KUALA KANGSAR
1. Mastura Mohd Yazid (BN): 12,653
2. Dr Najihatussalehah Ahmad (Pas): 5,684
3. Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah): 4,883
4. Izzat Bukhari Ismail Bukhari (Bebas): 54
Peratus mengundi: 71.4%
Undi Ditolak: 239
Majoriti: 6,969
Penyandang: Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad
Undi Diperoleh 2013: 14,218
Majoriti 1,082
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor