Pages

Friday, May 27, 2016

TUJUH SYARAT SYAHADAH



al-quran


Menurut akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ), mengucap dua kalimah syahadah adalah syarat sah untuk menjadi seorang Muslim. Amalan seseorang tidak akan diterima dan dianggap bukan amalan soleh, melainkan selepas dia melafazkan dua kalimah syahadah.

Ucapan syahadah yang pertama membawa erti "Aku mengaku dan sanggup menjadi saksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak dan layak untuk disembah, melainkan ALLAH". Manakala ucapan syahadah yang kedua bermaksud "Aku mengaku dan sanggup menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan ALLAH".

Apabila kita membicarakan perihal rukun Islam yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji, kita sering dihuraikan dengan syarat yang mesti diikuti untuk menjadikan ibadat tersebut sah. Umpamanya solat. Sejak kecil, kita diajar dengan syarat dan rukun solat. Tetapi, jarang sekali kita kita dihuraikan dengan syarat ucapan dua kalimah syahadah. Sedangkan inilah adalah Rukun Islam yang pertama.

Tokoh sarjana Islam, antaranya Syeikh Hafidz bin Ahmad Hakami dalam kitabnya Maa'rij Al-Qabul menyenaraikan sebanyak tujuh syarat syahadah La Ila Illallah.

Pertama: Al-'Ilmu

Al-'Ilmu bermaksud kita mesti mengetahui makna sebenar ucapan syahadah tersebut. ALLAH berfirman: "Maka ketahuilah bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH." (Surah Muhammad: 19)

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Sesiapa yang mati dan dia mengetahui bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan ALLAH, maka dia akan masuk syurga." (Riwayat Muslim)

Kedua: Al-Yaqin

Al-Yaqin bermaksud kita mesti benar-benar memahami dan meyakini makna syahadah ini tanpa ada sedikit pun keraguan dan kebimbangan.

ALLAH memberi jaminan kepada orang yang benar-benar yakin dalam firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada ALLAH dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan ALLAH; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)." (Surah Al-Hujurat: 15)

Rasulullah SAW juga mengingatkan syarat untuk masuk syurga bagi orang yang mengucapkan syahadah ialah dia mesti yakin dengan sepenuh hati tanpa ada sebarang ragu-ragu. Sabda Baginda SAW: "...Aku menjadi saksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan ALLAH dan bahawasanya aku (Muhammad) adalah utusan ALLAH, maka tidaklah seseorang hamba yang bertemu dengan ALLAH dalam keadaan tidak ragu-ragu dengan syahadah ini, melainkan dia akan masuk syurga." (Riwayat Muslim)

Orang yang melafazkan syahadah ini kemudian dia yakin dengan maknanya yang sebenar, maka sudah tentu seluruh anggota tubuhnya juga akan patuh untuk beribadah kepada ALLAH tanpa ada sebarang syirik.

Ketiga: Al-Ikhlas

Al-Ikhlas bererti kita melakukan sebarang ibadah dengan penuh ikhlas dan menghindari segala macam bentuk kesyirikan. ALLAH mengingatkan: "...Oleh itu hendaklah engkau menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya. Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada ALLAH ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik)..." (Surah Al-Zumar: 2-3)

Rasulullah SAW juga memberikan berita gembira terhadap orang yang ikhlas. Sabdanya: "Orang yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari kiamat kelak ialah orang yang mengucapkan La ilaha illallah dengan penuh ikhlas dari hati atau jiwanya." (Riwayat Bukhari)

Keempat: Al-Sidqu

Al-Sidqu bermaksud jujur iaitu kita mesti melafazkan ucapan syahadah dengan penuh jujur. Jika ada orang yang mulutnya sahaja melafazkan ucapan ini sedangkan hati tidak mengakuinya, maka dia adalah orang yang munafik dan pendusta.

ALLAH menceritakan perihal orang yang bersikap begini: "Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada ALLAH dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan ALLAH dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya." (Surah Al-Baqarah: 8-9)

Jujur dengan ungkapan syahadah juga adalah salah satu benteng kita daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seseorang yang menjadi saksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan Muhammad itu adalah utusan ALLAH, dengan penuh jujur dari hatinya, melainkan ALLAH akan mengharamkannya masuk neraka." (Riwayat Bukhari)

Kelima: Al-Mahabbah

Al-Mahabbah bererti cinta. Maksudnya kita hendaklah mencintai kalimah syahadah dan segala isi yang terkandung dalam kalimah tauhid. Natijahnya ialah kita akan mempunyai rasa cinta kepada ALLAH melebihi cinta kita kepada orang lain. ALLAH menyatakan antara sifat orang beriman: "(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari ALLAH (untuk menjadi) sekutu-sekutu (ALLAH), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai ALLAH; sedang orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada ALLAH..." (Surah Al-Baqarah: 165)

Keenam: Al-Inqiyad

Al-Inqiyad bererti tunduk dan patuh. Apabila kita mengucapkan ucapan syahadah, kita mesti tunduk dan patuh kepada tuntutan ucapan syahadah. Kita mesti beribadat kepada ALLAH, mengamalkan segala syariat-Nya dan yakin dengan kebenarannya.

ALLAH mengingatkan kita dalam firman-Nya: "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, dan berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." (Surah Al-Zumar: 54)

Ketujuh: Al-Qabul

Al-Qabul bererti kita menerima dengan rela hati segala isi kandungan dan melaksanakan segala tuntutan ucapan syahadah. Ibadah hanya kepada ALLAH tanpa ada sebarang unsur-unsur syirik. Jika ada orang yang melafazkan ucapan syahadah tetapi dia tidak menerima isi kandungannya, maka dia termasuk dalam golongan yang ALLAH sifatkan dalam ayat berikut: "Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya"; (Ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan ALLAH" - Mereka bersikap takbur mengingkarinya, -serta mereka berkata: "Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?" (Surah Al-Saffat: 35-36)

Tatkala melafazkan ucapan syahadah, ketujuh-tujuh perkara inilah sebenarnya yang terkandung di sebalik ucapan tersebut.

Lafaz yang ringkas, namun ia adalah kunci bagi segala-galanya. Semoga ia terus subur di dalam sanubari kita.

USTAZ ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan di Akademi Magnet Sukses, Graduan Ijazah
Sarjana Muda (al-Quran dan Sunnah), UIAM


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor