Pages

Monday, May 9, 2016

TAMPIL BUKTI JIKA MAHU DAKWA HANG TUAH MITOS


Idris Haron


Melaka - Semua pihak termasuk ahli sejarah dan akademik perlu menampilkan bukti kukuh dan tidak bergantung kepada penafian serta keraguan berdasarkan teori semata-mata jika mahu berterusan mendakwa Hang Tuah suatu figura mitos.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata bukti kewujudan Hang Tuah telah banyak ditampilkan dan disahkan kebenarannya, maka mereka yang berterusan menolak kewujudan pahlawan Melayu itu perlu menunjukkan bukti kukuh bagi menafikannya.

"Bila ada orang yang mahu menceritakan Hang Tuah itu tidak wujud mereka haruslah dan mestilah punyai asas kukuh lain yang boleh buktikan dengan bukti nyata bahawa Hang Tuah tidak wujud.

"Jika tidak mampu berbuat demikian hentikanlah mempersoal kewujudan Hang Tuah, jangan jadikan ini suatu polemik yang tidak memberi faedah," katanya kepada Bernama di sini.

Sebelum ini, pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat ujian DNA perlu dilakukan bagi membuktikan sama ada Hang Tuah itu wujud atau hanya sebuah cerita dongeng semata-mata.

Seorang lagi pakar sejarah Prof Dr Ahmat Adam mengakui seorang Laksamana Kesultanan Melayu Melaka wujud tetapi menolak laksamana itu Hang Tuah, malah dalam sebuah portal baru-baru ini, Ahmat mendakwa perasaan rendah diri orang Melayu membuatkan mereka memerlukan seorang wira untuk dipercayai iaitu Hang Tuah.

Idris berkata mana mungkin Hang Tuah suatu kisah mitos kerana perincian mengenai kisah sejarah figura Melayu itu diceritakan secara terperinci untuk lebih 600 tahun bukan sahaja dalam sejarah orang Melayu di negara ini malah di nusantara juga di seluruh dunia.

"Bagi sesebuah cerita ditulis secara terperinci bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat, diceritakan terperinci pakaiannya, senjatanya, madah pantunnya, perkataan yang digunakan malah sorakan orang di sekeliling semuanya dicatatkan, jadi masakan itu (kisah Hang Tuah) boleh jadi dongengan," katanya.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim berkata kewujudan Hang Tuah tidak sepatutnya menjadi sebuah polemik kerana telah jelas terbukti kewujudan laksamana itu melalui kajian pakar sejarah dan sastera lebih 60 tahun lepas.

"Sebenarnya komuniti cendekiawan telah lama menerima fakta bahawa Hang Tuah itu wujud melalui sejarah bukan sahaja (sejarah) Melayu tetapi sejarah dari China, Portugis dan yang terbaharu Jepun.

"Orang kata Hang Tuah tidak wujud kalau tiada bukti tetapi sekarang bukti sudah ada, jadi semuanya telah terbukti, yang tidak setuju (kewujudan Hang Tuah) dua orang itu sahaja orang lain semua sudah setuju kerana bukti sudah ada," kata ahli sejarah itu tanpa menamakan dua individu tersebut.

Mohd Jamil berkata sepanjang perbincangan tentang kewujudan Hang Tuah, pihak yang menyangkal kewujudan pahlawan itu gagal memberikan bukti baharu yang kukuh bagi menafikan kewujudan Hang Tuah.

Beliau dan pasukan pengkajinya pada masa ini sedang giat mengkaji jejak perjalanan Hang Tuah dari Pahang ke Melaka dalam misi laksamana lagenda itu membawa Tun Teja ke Melaka, malah ketika dihubungi Bernama beliau berada di Bera, Pahang melaksanakan kajian tersebut.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata figura Hang Tuah berkait rapat dengan jati diri orang Melayu, maka sebarang cubaan 'memadam' Hang Tuah adalah perbuatan yang cuba mengancam jati diri orang Melayu.

"Tidak pernah terfikir dalam fikiran saya Hang Tuah itu tidak wujud kerana nama itu sudah sebati dalam diri orang Melayu sejak dahulu lagi, malah banyak bukti telah ditampilkan mengenai kewujudan Hang Tuah.

"Jadi mengapa perlu terus persoal lagi Hang Tuah wujud atau tidak, mengapa tidak kita lakukan banyak kajian lagi bagi mengetahui lebih mendalam mengenai Hang Tuah supaya suatu hari nanti anak cucu kita kekal faham dan tahu lebih mendalam tentang Hang Tuah," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor